G-Shock Bawa Keindahan Reka Bentuk Asal Ke Gaya Analog


KETAHANAN dan reka bentuk ikonik menjadikan sesetengah jam tangan kekal relevan meskipun trend terus berubah.

Namun, mengekalkan identiti selama puluhan tahun bukan sekadar soal mempertahankan bentuk asal, sebaliknya turut melibatkan keupayaan menyesuaikan reka bentuk dengan perubahan cita rasa dan keperluan pemakainya.

Pendekatan ini dapat dilihat pada G-Shock, jenama jam tangan yang mula diperkenalkan pada 1983 dengan konsep menghasilkan jam tangan tahan hentakan.

Lebih empat dekad kemudian, identiti yang dibina menerusi model DW-5000C terus menjadi inspirasi kepada perkembangan reka bentuknya, termasuk dua model analog terbaharu, GMC-2500 dan GAC-2500.

Kedua-duanya mengekalkan bentuk ikonik model asal, tetapi bahagian luar jam direka dengan lengkungan yang lebih lembut dan membulat, memberikan penampilan lebih kontemporari tanpa mengetepikan ciri yang menjadikan G-Shock mudah dikenali.

Analog Dengan Fungsi Praktikal

Selain penampilan, GMC-2500 dan GAC-2500 turut menggabungkan beberapa fungsi yang direka untuk memudahkan penggunaan harian. 

Antaranya ialah Multi-Mission Date, ciri yang menggunakan paparan tiga bahagian pada kedudukan pukul 3 untuk menunjukkan tarikh, minit yang telah berlalu ketika jam randik digunakan serta maklumat tetapan, bergantung pada fungsi yang sedang diaktifkan.

Paparan ini turut membolehkan pengguna menetapkan tahun, bulan dan hari bagi mengaktifkan kalendar automatik sepenuhnya. Dengan tetapan tersebut, tarikh boleh diselaraskan secara automatik tanpa memerlukan pembetulan manual, meskipun jam tangan ini menggunakan paparan analog.

Satu lagi ciri yang disertakan ialah fungsi 'tidur' untuk jarum saat kecil pada kedudukan pukul 9. Jarum tersebut boleh dihentikan ketika tidak diperlukan dan diaktifkan semula pada bila-bila masa. Langkah ini membantu mengurangkan penggunaan tenaga, sekali gus memanjangkan hayat bateri.



Dari segi penampilan, lengkungan lembut pada keseluruhan sarung jam menghasilkan permainan cahaya dan bayang-bayang yang berubah mengikut sudut pencahayaan.

Reka bentuk muka jam yang ringkas, bersama penanda waktu yang jelas, pula memberikan keseimbangan antara penampilan kemas dengan kebolehbacaan.

Gabungan reka bentuk dan fungsi ini memperlihatkan bagaimana ciri klasik boleh disesuaikan dengan keperluan semasa. Inspirasi daripada DW-5000C bukan sekadar diterjemahkan melalui bentuk luaran, malah turut disertai fungsi yang menjadikan jam tangan lebih praktikal untuk kegunaan harian.

Pendekatan ini mencerminkan usaha Casio untuk terus meneroka gabungan teknologi, fungsi dan reka bentuk dalam menghasilkan jam tangan yang sesuai dengan keperluan serta cita rasa pengguna masa kini.

Jenama itu terus meneroka pelbagai fungsi dan reka bentuk jam tangan, melangkaui peranan asasnya sebagai penunjuk waktu untuk memenuhi keperluan pengguna yang semakin pelbagai. - 7KLIK

ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments