Jujutsu Kaisen Bawa Dunia Anime Lebih Dekat Dengan Peminat Di 1 Utama


JIKA selama ini dunia Jujutsu Kaisen hanya dikenali menerusi skrin dan helaian manga, kali ini peminat berpeluang melihat beberapa elemennya hadir dalam suasana yang lebih nyata.

Karakter, visual dan latar yang sinonim dengan siri popular Jepun itu dibawa ke pusat beli-belah 1 Utama menerusi satu kolaborasi yang menjadi kerjasama pertama Jujutsu Kaisen dengan sebuah pusat beli-belah di Malaysia.

Ruang pop-up yang disediakan turut menampilkan beberapa tarikan yang mengambil inspirasi daripada siri berkenaan, termasuk dekorasi karakter, latar yang dikenali peminat serta sudut bergambar.

Antara yang paling mencuri perhatian ialah Shibuya Tower setinggi 10 kaki, diinspirasikan daripada latar Shibuya yang cukup penting dalam jalan cerita Jujutsu Kaisen.

Struktur tersebut ditempatkan sebagai antara tarikan utama di ruang pop-up, manakala beberapa sudut lain dihiasi dengan visual dan karakter daripada siri berkenaan. Susunan ruang ini memberikan latar yang sesuai untuk peminat merakam gambar sambil menikmati suasana kolaborasi tersebut.

Tarikan di lokasi tidak terhad kepada ruang pop-up, apabila peminat turut boleh menikmati kafe bertemakan Jujutsu Kaisen, mencuba 4-cut photo booth, selain melihat koleksi merchandise, ONECARD edisi terhad dan hadiah premium yang disediakan dengan pembelian minimum.

Bukan Sekadar Ruang Bergambar

Pengalaman Jujutsu Kaisen Café membawa tema siri tersebut ke dalam pilihan makanan dan minuman yang disediakan. Pembungkusan makanan, sarung cawan dan alas cawan turut menampilkan sentuhan Jujutsu Kaisen, manakala pelanggan berpeluang membawa pulang kad foto random yang disediakan bersama pengalaman di kafe.

Bagi pengumpul pula, ONECARD edisi terhad Jujutsu Kaisen x 1 Utama turut diperkenalkan sempena kolaborasi ini sebagai antara koleksi khas untuk peminat siri tersebut.



Pengunjung juga boleh menggunakan 4-cut photo booth bertemakan Jujutsu Kaisen untuk merakam gambar bersama keluarga atau rakan. Beberapa reka bentuk berinspirasikan siri tersebut turut disediakan dengan pilihan latar dan bingkai yang selari dengan temanya.

Koleksi merchandise baharu turut diperkenalkan, merangkumi pelbagai barangan berinspirasikan karakter dalam siri tersebut. Antaranya termasuk item yang menampilkan Yuji Itadori, Megumi Fushiguro, Nobara Kugisaki dan Satoru Gojo, empat karakter yang cukup dikenali dalam dunia Jujutsu Kaisen.

Bagi peminat Jujutsu Kaisen, kemunculan siri ini dalam bentuk fizikal memberi peluang untuk menikmati dunia kegemaran mereka dari sudut yang berbeza, terutama bagi mereka yang selama ini mengenalinya menerusi manga dan anime.

Kolaborasi Jujutsu Kaisen x 1 Utama berlangsung dari 17 Oktober hingga 1 November di GF Luxe, 1 Utama.  - 7KLIK

ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments