![]() |
| Gandingan Shin Mina dan Lee Jongsuk mencuri perhatian menerusi The Remarried Empress |
KISAH cinta, pengkhianatan dan perebutan kuasa dalam dunia istana kembali mencuri perhatian peminat drama Korea menerusi The Remarried Empress.
Sejak kemunculannya di Disney+ pada 3 November lalu, drama epik romantik itu mencatat pencapaian luar biasa apabila muncul sebagai tayangan perdana siri original tempatan paling banyak ditonton sepanjang masa di platform berkenaan pada peringkat global, berdasarkan jumlah tontonan dalam tempoh tiga hari pertama.
Bukan itu sahaja, The Remarried Empress turut menduduki tempat pertama dalam kategori tayangan perdana judul Korea di lebih 50 pasaran antarabangsa, termasuk Amerika Syarikat, United Kingdom, Perancis, Sepanyol, Jerman, Mexico, Chile, Australia, New Zealand dan Kanada.
Sambutan terhadap drama ini sememangnya sudah mula dirasai sebelum tayangannya. Sesi pratonton khas di Festival Filem Antarabangsa Busan dilaporkan mendapat sambutan sehingga tiket habis dijual, manakala treler utama yang diperkenalkan sebelum ini meraih 13 juta tontonan dalam tempoh 48 jam di YouTube dan platform media sosial.
Populariti karya asalnya juga menjadi antara faktor yang meningkatkan keterujaan peminat. Diadaptasi daripada webtoon popular terbitan Naver Webtoon dengan judul sama, kisah tersebut sudah mengumpul hampir tiga bilion tontonan sejak mula diterbitkan.
Menariknya, drama ini turut membuat kejutan apabila ditayangkan sehari lebih awal daripada jadual asal pada 4 November lalu. Langkah itu menjadi tanda penghargaan kepada peminat yang begitu menantikan kemunculannya.
Pengkhianatan Istana Mengubah Takdir Permaisuri
The Remarried Empress mengisahkan Permaisuri Navier di Empayar Timur yang berdepan keretakan rumah tangga apabila suaminya, Maharaja Sovieshu, jatuh cinta kepada Rashta, seorang wanita yang melarikan diri daripada perhambaan.
Enggan menggadaikan maruah diri, Navier bersetuju untuk bercerai dengan satu syarat, iaitu dia dibenarkan berkahwin semula dengan Putera Mahkota Heinrey dari Kerajaan Barat. Keputusan itu mencetuskan konflik cinta, pengkhianatan dan perebutan kuasa yang bakal mengubah nasib sebuah empayar.
Naskhah arahan Cho Suwon yang diadaptasi oleh Yeoh Geena dan Hyun Choongyeol ini menampilkan Shin Mina sebagai Permaisuri Navier, Ju Jihoon (Maharaja Sovieshu), Lee Jongsuk (Putera Mahkota Heinrey) dan Lee Seyoung (Rashta).
Sebanyak empat episod kini boleh distrim di Disney+, manakala dua episod baharu akan ditayangkan setiap Rabu bermula 11 November sehingga episod terakhir pada 25 November ini. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
.jpg)
0 Comments