EMPAT dekad perjalanan Anugerah Juara Lagu (AJL) terus diraikan dengan sebuah malam penuh warna, persembahan bertenaga dan persaingan sengit antara barisan finalis terbaik muzik tanah air. Berlangsung di Unifi Arena, Bukit Jalil pada malam Sabtu, pentas AJL40 menyaksikan lagu
Tiwikarma nyanyian kumpulan K.O.I dinobatkan sebagai juara, sekali gus melakar kemenangan besar dalam edisi yang meraikan evolusi muzik Malaysia itu.
Selaku juara, K.O.I bersama pencipta lagu Zai Hamzah dan Hemo Globin serta penulis lirik Achoi Floor 88, Khaza Raflex, Tuan Nicky, Mya Nana dan Sapik Sam membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000 berserta trofi AJL40.
Tempat kedua menjadi milik lagu
Tak Adil nyanyian Aisha Retno, yang turut merupakan salah seorang pencipta lagu bersama Radi. Kemenangan itu melayakkan mereka menerima hadiah wang tunai RM50,000 berserta trofi.
Sementara itu, lagu
Lumangad Oku Dika ciptaan dan nyanyian Ryenald Guntabid menduduki tempat ketiga dengan membawa pulang wang tunai RM30,000 berserta trofi.
Marsha Milan, Aina Abdul Curi Perhatian
Dalam kategori Vokal Terbaik, Marsha Milan mengungguli persaingan menerusi
Tangisan Seorang Pendosa. Kemenangan tersebut membolehkan penyanyi berkenaan membawa pulang wang tunai RM12,000 berserta trofi.
Aina Abdul pula menepati ramalan ramai apabila dinobatkan sebagai pemenang Persembahan Terbaik menerusi penampilannya yang cukup mencuri perhatian menerusi persembahan berkonsepkan gunung berapi ketika membawakan lagu
Kamu. Kemenangan itu melayakkan Aina menerima hadiah wang tunai RM12,000 berserta trofi.
Penyanyi itu turut diumumkan sebagai pemenang Anugerah Ikon Artis Pilihan Shopee, selain dipilih mewakili Malaysia ke Eurovision Song Contest Asia 2026 yang dijadualkan berlangsung di Bangkok, Thailand pada 14 November ini.
Barisan finalis lain yang turut menghangatkan pentas AJL40 ialah Dayang Nurfaizah menerusi
Lemah, Wani Kayrie
(Cak Cak Cekuk), Amir Masdi
(Nurcinta), Hazama
(Semacam Pandora) serta Luca Sickta, Kmy Kmo dan Salammusik
(Ke Mana Ni).
Kesemua finalis dinilai oleh barisan juri profesional yang terdiri daripada Datuk Acis selaku Ketua Juri, Siti Hajar, Ad Samad, LY, Helen Yap, AG Coco, Pat Ibrahim, SM Muzaffar dan Efry.
Mengangkat tema 'Meraikan 4 Dekad Evolusi dan Masa Depan Muzik Malaysia', AJL40 dihoskan oleh Naz Rahman dan Sissy Imann.
Malam kemuncak itu turut diserikan dengan persembahan daripada barisan artis popular tanah air termasuk Datuk Francissca Peter, Misha Omar, Syamel, Ernie Zakri, Amelina dan Ziana Zain, selain kemunculan istimewa Datuk Seri Siti Nurhaliza yang menambahkan lagi kemeriahan sambutan empat dekad AJL.
- 7KLIKARTIKEL LAIN:
0 Comments