Gaya Minimalis A.P.C. Bertemu Identiti Klasik Casio Vintage

Sentuhan retro dan minimalis melengkapi kolaborasi Casio Vintage bersama A.P.C.

KOLABORASI antara jenama fesyen dan jenama jam tangan sering menghasilkan gabungan menarik, terutama apabila identiti reka bentuk masing-masing diterjemahkan menerusi aksesori yang melengkapi gaya harian.

Kali ini, jenama fesyen dari Perancis, A.P.C., kembali bekerjasama dengan Casio menerusi dua model jam tangan yang menggabungkan elemen klasik dan sentuhan minimalis.

Menerusi kolaborasi terbaharu ini, Casio dan A.P.C. memperkenalkan dua model di bawah rangkaian Casio Vintage, iaitu AQ-240EAC dan AQ-240EGAC. Berasaskan model AQ-240, jam tangan ini menggabungkan paparan analog dan digital dengan reka bentuk retro yang ringkas serta mudah dibaca.

Reka bentuk berbentuk petak dengan bucu membulat menjadi antara ciri utama jam tangan ini, selain permukaan dial dengan kemasan sunray yang memberikan kesan berkilau apabila terkena cahaya.

Identiti A.P.C. turut diserlahkan menerusi logo jenama tersebut pada bahagian dial dan pengancing tali jam. Sementara itu, simbol gitar dan dagger diukir pada bahagian belakang badan jam sebagai perincian istimewa kolaborasi berkenaan.

Dua Pilihan Warna

Dari segi penampilan, kedua-dua model hadir dalam pilihan warna emas serta perak yang dipadankan dengan dial hijau gelap. Gabungan warna dan reka bentuk ringkas ini mencerminkan pendekatan minimalis A.P.C., selain sesuai digayakan bersama pakaian kasual seperti denim.

Gabungan warna emas dan perak memberikan karakter tersendiri kepada dua model Casio Vintage ini

Selain aspek reka bentuk, kolaborasi ini turut mengetengahkan tema masa menerusi sebuah filem pendek arahan Kersti Jan Werdal berjudul A Day with A.P.C. and Casio.

Filem pendek ini menampilkan rangkaian babak aktiviti harian dengan fokus pada pergerakan tangan dan pergelangan tangan. Setiap babak turut disertakan paparan waktu pada sudut bingkai. Ia turut  mengetengahkan rutin harian menerusi paparan tangan dan pergelangan tangan dalam pelbagai situasi, dengan elemen masa menjadi fokus utama sepanjang rakaman.

Kedua-dua model jam tangan ditampilkan secara bergilir dalam babak-babak berbeza, sekali gus menggambarkan bagaimana masa menjadi sebahagian daripada detik sederhana dalam kehidupan seharian.

Jam tangan edisi kolaborasi ini mula ditawarkan menerusi kedai dalam talian rasmi Casio pada 17 November 2026, bermula 5 petang. - 7KLIK

ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments