Dari Lava Ke Couture: Apa Sebenarnya Yang Aina Abdul Sampaikan Dengan Busana AJL40?


JIKA ada satu persembahan di Anugerah Juara Lagu ke-40 (AJL40) yang bukan sahaja menguji vokal, tetapi turut mengajak penonton membaca bahasa visualnya, pastinya persembahan Aina Abdul menerusi lagu Kamu antara yang paling mencuri perhatian.

Bukan sekadar berdiri di pentas dan menyampaikan sebuah lagu, Aina hadir membawa keseluruhan dunia visual yang dibina daripada elemen gunung berapi, kemarahan dan luka yang akhirnya meletus selepas terlalu lama dipendam.

Tidak hairanlah apabila busana yang digayakan penyanyi berusia 33 tahun itu turut menjadi antara perkara yang paling diperkatakan.

Direka oleh Melinda Looi, persalinan serba hitam dengan percikan rona merah dan jingga itu tampil jauh daripada definisi busana pentas yang sekadar cantik untuk dipandang. Sebaliknya, ia kelihatan kasar, dramatik, sedikit liar dan penuh tekstur seolah-olah satu gambaran fizikal kepada emosi yang sedang membara.

Aina sendiri menjelaskan menerusi Instagram bahawa Kamu bukan sekadar sebuah lagu, sebaliknya menjadi suara kepada luka, pengkhianatan, kemarahan dan kekecewaan yang akhirnya “meletus seperti gunung berapi selepas terlalu lama hati memilih untuk diam”.

Maka, apabila melihat busana tersebut dari atas hingga ke bawah, setiap elemennya seakan bergerak dalam naratif yang sama.

Sebahagian Daripada Gunung Berapi

Siluet busana Aina dibina dengan bentuk yang besar dan dramatik, khususnya pada bahagian bahu dan sisi tubuh. Permukaan busana pula dipenuhi tekstur yang kelihatan kasar, bertingkat dan tidak teratur, memberikan ilusi seperti sesuatu yang telah pecah, terbakar atau sedang merekah.

Dominasi warna hitam menjadikan keseluruhan look terasa gelap dan berat, sementara elemen merah serta jingga yang menjuntai di bahagian lengan dan skirt memberikan kontras seperti aliran lava yang keluar daripada permukaan gunung berapi.

Daripada kejauhan, ia mungkin kelihatan seperti satu ledakan tekstur. Namun apabila dilihat lebih dekat, permainan material, bentuk dan warna itu menjadikan busana tersebut seolah-olah mempunyai kehidupannya sendiri.

Bahagian kepala turut diberi perhatian menerusi headpiece yang mencacak dan merebak ke sekeliling, menambahkan lagi karakter dramatik kepada penampilan Aina. Ia menjadikan keseluruhan siluet kelihatan seperti satu figura yang sedang berada di tengah-tengah letusan.


Menariknya, Aina sendiri menggambarkan busana ciptaan Melinda Looi itu sebagai gambaran dirinya yang menjadi sebahagian daripada “kalangan gunung berapi yang menunggu masa untuk meletus”.

Di situlah kekuatan look ini sebenarnya. Ia tidak cuba untuk kelihatan lembut atau konvensional. Sebaliknya, memilih untuk menjadi bold, theatrical dan almost unsettling, selari dengan emosi yang cuba disampaikan menerusi Kamu.

Lebih daripada sekadar pelengkap persembahan, busana itu menjadi sebahagian daripada penceritaan. Gunung berapi bukan sekadar elemen dekorasi di pentas, tetapi metafora kepada sesuatu yang bermula jauh di dalam diri, terus membara dan akhirnya tidak lagi mampu dibendung.

Malah, elemen merah dan jingga yang kelihatan seperti lava itu memberikan rasa panas kepada keseluruhan visual, sekali gus memecahkan dominasi hitam yang membawa rasa gelap dan berat.

Di penghujung persembahan, emosi tersebut akhirnya mencapai kemuncak apabila suara Aina bergabung bersama koir menerusi bait, “Terserah padamu, puas sudah aku menunggumu…”

Maka selepas segala kemarahan, kecewa serta luka diluahkan, persembahan itu ditutup dengan dua perkataan yang cukup sederhana tetapi sarat makna — “Puas Sudah.”

Begitu juga dengan busananya. Ia bermula sebagai gambaran sesuatu yang gelap dan membara, sebelum akhirnya meletus menjadi satu visual yang sukar untuk diabaikan. Mungkin itu yang menjadikan penampilan Aina di pentas AJL40 terasa lebih daripada sekadar 'fashion moment'.

It was fashion with a purpose. Daripada lava ke couture, setiap tekstur, warna dan bentuk seakan membawa satu mesej yang sama iaitu  ada luka yang boleh dipendam untuk sekian lama, tetapi pada akhirnya, ia tetap mencari jalan untuk dilepaskan.

Untuk Kamu, Aina memilih untuk melepaskannya dengan cara yang paling dramatik. - 7KLIK

✍️ Nota by Sang Latte
(**Penulisan ini adalah pandangan peribadi penulis semata-mata dan tidak mewakili pendirian 7Klik mahupun mana-mana pihak)


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments