| Radin Amir kini bergelar suami kepada Nur Amirah Shamsulbahrin | FOTO: Era FM |
DENGAN sekali lafaz yang sempurna, penyampai radio ERA dan pengacara, Radin, akhirnya melangkah ke fasa baharu dalam hidup apabila sah bergelar suami kepada pilihan hatinya, Nur Amirah Shamsulbahrin.
Upacara ijab dan Kabul yang berlangsung dalam suasana sederhana namun penuh tertib itu diadakan di sebuah premis acara di Ukay Perdana, Ampang sekitar jam 9.02 malam pada malam Jumaat.
Majlis tersebut turut menyaksikan detik penuh bermakna apabila bapa pengantin perempuan, Shamsulbahrin, sendiri selaku wali yang menikahkan pasangan berkenaan, dengan disaksikan Penolong Pendaftar Perkahwinan Masjid Bukit Antarabangsa, Ustaz Abdul Hakim Abdul Rahman.
Radin atau nama lengkapnya, Radin Amir Affendy Ahmad Aruani menyerahkan mas kahwin berupa pohon emas bernilai RM15,020.26 bersama tiga dulang hantaran, berbalas lima dulang daripada pihak pengantin perempuan. Namun, jumlah wang hantaran tidak didedahkan kepada umum.
Majlis sederhana penuh harmoni itu turut diserikan dengan kehadiran beberapa tetamu kenamaan termasuk Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama isteri, selain rakan selebriti seperti Syed Saddiq, Bella Astillah, Erra Fazira, Nabila Razali dan beberapa figura industri hiburan lain.
Turut mencuri perhatian ialah kehadiran rakan-rakan penyampai radio Astro yang hadir mengiringi pengantin lelaki, termasuk Azad Jasmin, DJ Naz dan Nabil Ahmad yang turut sama membantu menjayakan majlis dengan membawa dulang hantaran.
Difahamkan, Radin dan Nur Amirah telah mengenali antara satu sama lain sejak lebih setahun lalu, namun hubungan tersebut tidak pernah dipaparkan secara terbuka sebelum ini, menjadikan majlis pernikahan ini sebagai detik yang cukup peribadi dan bermakna buat kedua-duanya. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments