PELAKON Ben Amir akhirnya membuka bicara mengenai fasa baharu dalam kehidupannya apabila mengesahkan pernikahan bersama wanita pilihan hati, Liana Alara, yang berlangsung secara tertutup pada Disember lalu.
Pengumuman tersebut dikongsikan menerusi satu hantaran di laman Instagram miliknya pada Sabtu, sekali gus menjawab persoalan yang berlegar dalam kalangan peminat sejak beberapa hari kebelakangan ini.
Menerusi perkongsian itu, Ben atau nama penuhnya Muhammad Amir Sabaruddin menzahirkan rasa syukur atas penyatuan itu.
"Alhamdulilah, dengan izin Allah kami telah disatukan pada Disember 2025. Dengan rendah hati saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih atas doa dan ucapan baik semua,” ujarnya tanpa menjelaskan butiran lanjut mengenai majlis tersebut.
Foto-foto berkenaan dipercayai dirakam semasa upacara akad nikah yang berlangsung di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta, Kuala Lumpur, dengan kedua-duanya tampil anggun dalam persalinan serba putih.
Sebelum ini, beberapa foto Ben dan Liana dalam busana sepadan telah tular di media sosial, sekali gus mencetuskan pelbagai spekulasi mengenai status hubungan mereka. Perkongsian terbaharu itu akhirnya merungkai segala tanda tanya yang timbul dalam kalangan peminat.
Terdahulu, Liana yang merupakan warganegara Filipina dilaporkan memeluk agama Islam pada November lalu di pejabat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Kuala Lumpur. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments