IKATAN perkahwinan pasangan selebriti Yusuf Bahrin dan Zizi Kirana akhirnya menemui titik nokhtah apabila sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Selangor, pada Khamis.
Yusuf atau nama lengkapnya Muhammad Yusuf Bahrin, 34, melafazkan talak terhadap Zizi, di hadapan Hakim Syarie Mohd Saifullah Hamzah.
Peguam syarie yang mewakili Zizi, Haiza, berkata prosiding di Mahkamah Rendah Syariah Petaling pada hari ini merupakan satu permohonan perceraian di bawah Seksyen 47, di mana kedua-dua pihak, iaitu Zizi dan Yusuf, bersetuju untuk bercerai secara baik.
“Perceraian ini telah direkodkan oleh hakim Tuan Muhammad Syaifullah Hamzah. Lafaz cerai telah dibuat oleh Yusuf terhadap Zizi dengan talak satu secara raj’ie.
“Kes pada hari ini juga berjalan dengan baik," katanya.
Sementara Zizi atau nama sebenarnya Nur Fazelah Mad Tahil, 41, yang ditemui media di perkarangan mahkamah kelihatan tenang, namun tidak berkongsi berkongsi lanjut mengenai perkara itu.
“Alhamdulillah, semuanya yang baik-baik, insyaAllah. Terima kasih semua,” ujarnya yang hadir ditemani aktres, Datin Seri Umie Aida.
Difahamkan pasangan berkenaan mengambil keputusan untuk berpisah secara baik dan membawa haluan hidup masing-masing selepas lima tahun mendirikan rumah tangga.
Terdahulu rumah tangga Yusuf dan Zizi didakwa berdepan masalah apabila mereka dikatakan sudah tidak tinggal sebumbung. Bagaimanapun kedua-duanya memilih untuk berdiam diri dan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung perkara itu.
Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 19 September 2021 dan belum dikurniakan cahaya mata. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments