Agenda Istimewa Bersama Peminat, Jisoo Terbang Ke Jakarta Dan Singapura

Jisoo meneruskan aktiviti solonya di Asia Tenggara menerusi pertemuan bersama peminat di Jakarta dan Singapura

Oleh: AILEEN ADAM
KEHADIRAN artis antarabangsa di sesebuah negara sering menjadi momen istimewa buat peminat, lebih-lebih lagi apabila mereka berpeluang bertemu secara dekat di luar konsert.


Peluang sebegitu turut dinikmati peminat Jisoo apabila penyanyi itu mengadakan aktiviti bersama mereka di dua lokasi Asia Tenggara sepanjang penghujung November ini, melibatkan Jakarta dan Singapura.

Anggota Blackpink ini baru sahaja mengadakan sesi pertemuan Meet & Click di Main Atrium, Gandaria City, Jakarta pada 28 November lalu. Acara berkenaan memberi peluang kepada peminat bertemu secara langsung dengan penyanyi tersebut dalam suasana yang lebih dekat dan santai.

Kehadirannya disambut meriah oleh peminat yang memenuhi ruang pusat beli-belah itu yang telah hadir sejak awal pagi. Pertemuan tersebut turut diserikan dengan aktiviti tarian lagu terbaharunya, Addicted, selain sesi menjawab beberapa pertanyaan daripada peminat.

Jisoo turut meluahkan rasa gembira dapat kembali ke Indonesia dan bertemu peminat selepas konsert Blackpink menerusi jelajah dunia 'Deadline' pada November tahun lalu. Bintang berusia 31 tahun itu  juga menyatakan peminat menjadi antara perkara yang membahagiakannya sejak kebelakangan ini.

Singapura Lengkapkan Rangkaian Aktiviti

Selepas Jakarta, Singapura pula menjadi lokasi seterusnya menerusi acara Addicted Up Close yang dijadualkan berlangsung pada hari ini, 29 November, jam 3 petang di MARQUEE Singapore, Marina Bay Sands.

Pertemuan eksklusif itu merupakan sebahagian daripada rangkaian aktiviti Jisoo: Click in Singapore yang turut menampilkan pop-up store di Digital Light Canvas, The Shoppes, Marina Bay Sands dari 13 hingga 29 November.

Menerusi ruang tersebut, peminat berpeluang meneroka koleksi rasmi Jisoo serta beberapa barangan eksklusif yang diperkenalkan khusus untuk edisi Singapura. Antara tarikan lain ialah POPPOP, rangkaian popcorn yang membuat debut global menerusi pop-up berkenaan.

Rangkaian aktiviti di Jakarta dan Singapura memperlihatkan bagaimana Jisoo terus mendekati peminat menerusi pengalaman berbeza di luar pentas persembahan. Selain muzik, aktiviti ini turut memberi ruang kepada mereka mengenali sisi kreatif penyanyi itu melalui koleksi rasmi dan acara interaktif. - 7KLIK

ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments