[REVIEW] Biopik Michael: Estetika Menonjol dalam Batas Naratif

Biopik Michael berjaya menghidupkan kembali aura legenda ini dengan penuh gaya

KISAH ‘Raja Pop’ Michael Jackson bukan sekadar bahan biopik biasa. Ia adalah sebuah legasi global yang sarat dengan jangkaan tinggi, emosi yang kompleks dan sejarah yang terlalu besar untuk disederhanakan dalam satu naskhah.

Sejak awal, filem berjudul Michael ini memilih untuk kembali ke akar, menelusuri era The Jackson 5, memperlihatkan bagaimana seorang kanak-kanak berbakat dibentuk menjadi fenomena dunia.

Pendekatan ini memberi asas yang jelas, namun dalam masa sama menetapkan nada bahawa filem ini lebih cenderung kepada penceritaan yang tersusun dan berhati-hati.

Produksi biopik ini dilihat mengambil pendekatan yang lebih 'terkawal', dengan fokus kepada legasi seni berbanding kontroversi peribadi. Pilihan ini dapat difahami, namun ia secara tidak langsung menghadkan kedalaman emosi yang boleh diterokai.

Naratif yang disusun kemas ini akhirnya terasa seperti hanya menyentuh permukaan. Banyak aspek kehidupan Michael Jackson yang diketahui umum tidak diberikan ruang secukupnya, menjadikan penceritaan terasa terhad dan kurang berlapis. Konflik dalaman yang sepatutnya menjadi nadi kepada sebuah biopik pula tidak benar-benar digali secara mendalam.

Filem ini jelas bergantung pada kekuatan persembahan pentas dan elemen nostalgia. Setiap kali watak Michael berada di atas pentas, naskhah ini benar-benar 'hidup'. Sinematografi, susunan muzik dan tenaga lakonan bergabung dengan cukup berkesan.

Namun, di antara momen-momen tersebut, terdapat jurang dalam perkembangan emosi. Peralihan antara fasa kehidupan terasa agak tergesa-gesa, seolah-olah penonton dibawa melompat dari satu titik penting ke titik yang lain tanpa ruang untuk benar-benar menyerap perubahan tersebut.

Dari sudut pengarahan, pendekatannya kemas dan terkawal dengan visualnya cantik, komposisi babaknya tersusun. Namun, ia juga terasa terlalu berhati-hati.  Dalam usaha untuk menghormati subjeknya, filem ini seakan mengelak daripada menyentuh sisi yang lebih mentah dan jujur, sekali gus mengurangkan impak emosinya.

Lakonan dan Nostalgia Jadi Nadi Utama

Walau bagaimanapun, kekuatan terbesar filem ini terletak pada lakonan Jaafar Jackson sebagai Michael Jackson. Transformasinya bukan sahaja meyakinkan dari segi fizikal, tetapi juga dari segi bahasa tubuh, pergerakan pentas dan ekspresi halus yang begitu sinonim dengan ikon tersebut. Ia bukan sekadar 'imitation', tetapi satu usaha untuk menghidupkan semula aura seorang legenda.



Dalam masa yang sama, Colman Domingo sebagai Joe Jackson memberikan dimensi yang tegas dan kadangkala menakutkan. Kehadirannya menambah lapisan konflik keluarga yang terasa nyata, walaupun naratif tidak sepenuhnya memanfaatkan potensi tersebut.

Penggunaan lagu-lagu ikonik seperti Billie Jean, Thriller, Beat It dan I Want You Back bukan sekadar elemen sokongan, tetapi menjadi nadi kepada penceritaan. Setiap lagu menghidupkan kembali era kegemilangan Michael Jackson dengan kekuatan emosi yang sukar dinafikan, sekali gus menjadi antara momen paling berkesan dalam filem ini.

Secara keseluruhan, filem ini tersusun rapi dan mudah diikuti, namun terasa terlalu 'respectful' terhadap legasi yang dibawanya. Dalam usaha untuk menjaga imej dan penghormatan terhadap Michael Jackson, ia mengorbankan keberanian naratif yang sepatutnya menjadikan sebuah biopik lebih berani dan berbekas.

Michael akhirnya berfungsi sebagai sebuah pengenalan yang kukuh, tetapi belum lengkap. Ia menyerlah dari segi lakonan dan atmosfera muzik, namun masih belum mencapai kedalaman emosi yang diharapkan daripada kisah sebesar ini.

Apa yang ditinggalkan kepada penonton bukanlah kepuasan sepenuhnya, tetapi rasa ingin tahu yang tergantung, seolah-olah naskhah ini sekadar membuka pintu kepada sesuatu lebih besar, yang mungkin hanya akan benar-benar diterokai dalam bahagian seterusnya.  - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:


MICHAEL
Bahasa: Inggeris
Klasifikasi: P12
Genre: Biopik
Durasi: 2 jam 7 minit
Pengarah: Antoine Fuqua
Pelakon: Jaafar Jackson, Colman Domingo, Nia Long, Miles Teller
Edaran: United International Pictures
Tarikh Tayangan: 23 April 2026
Bintang: 7.5/10
[KREDIT FOTO: United International Pictures]


LIBANG LIBU
Bahasa: Melayu
Klasifikasi: 13
Genre: Komedi
Durasi: 1 jam 48 minit
Pengarah: Bobby Husaini
Pelakon: Beto Kusyairy, Nabila Huda, Amerul Affendi, Ozzlyn Wati, Nadia Aqilah
Edaran: Skop Production
Tarikh Tayangan: 23 April 2026

TITIP BUNDA DI SURGA-MU
Bahasa: Indinesia
Klasifikasi: 13
Genre: Drama
Durasi: 1 jam 53 minit
Pengarah: Hanny Saputra
Pelakon: Acha Septriasa, Kevin Julio, Abun Sungkar
Edaran: GSC Movies
Tarikh Tayangan: 23 April 2026

HUMAN RESOURCE
Bahasa: Thai
Klasifikasi: 13
Genre: Drama
Durasi: 2 jam 3 minit
Pengarah: Nawapol Thamrongrattanarit
Pelakon: Prapamonton Eiamchan, Paopetch Charoensook, Pimmada Chaisaksoen
Edaran: GSC Movies
Tarikh Tayangan: 23 April 2026

Post a Comment

0 Comments