RTM 80 Tahun: Kredibiliti dan Jiwa yang Terus Hidup


RADIO Televisyen Malaysia (RTM) meraikan ulang tahunnya yang ke-80 dengan tema keramat 'Teman Setia Anda', menegaskan peranan berterusannya sebagai sumber maklumat yang dipercayai serta pemangkin perpaduan nasional.

Sepanjang lapan dekad, RTM telah berkembang daripada penyiaran radio tradisional kepada ekosistem multimedia yang merangkumi televisyen, radio dan platform digital.

Kekuatan utama organisasi terletak pada kredibiliti pemberitaan, ketelusan sumber, serta bakat kreatif tempatan yang menjadi nadi setiap produksi.

Sambutan lapan dekad TV1 dan TV2 menampilkan siri eksklusif ulang tahun bermula 28 Mac hingga 26 April 2026.

Sorotan utama pada 1 April menampilkan tayangan khas Menjulang Layar Menyatukan Bangsa dan dokumentari Citra Reka Busana, selain barisan naskhah popular seperti Puteri Impian dan filem blockbuster antarabangsa The Dark Knight Rises serta Bad Boys: Ride or Die.

Seleksi pelbagai genre ini merupakan penghargaan RTM buat seluruh lapisan masyarakat yang kekal setia merentas zaman.

Berita Ehwal Semasa (BES), sebagai tulang belakang RTM, kini memperkukuh jenama RTM ASEAN melalui strategi pengantarabangsaan yang beralih ke RTM World. Evolusi ini menumpukan kandungan berita dan program berbahasa Inggeris untuk memperluas capaian ke peringkat serantau dan global, susulan pelancaran RTM ASEAN pada Oktober 2024.

Menyatukan Tradisi dan Transformasi Digital

Sambutan ulang tahun ke-80 turut menampilkan wajah dan nafas baharu program-program BES, serta inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) melalui Selamat Pagi Malaysia dengan SPM @ Kongsi Kasih di Rumah Kasih Harmoni, Paya Jaras, Selangor.

Bahagian Program Radio pula memperkenalkan inisiatif 'Dari Konti ke Komuniti', menggabungkan sinergi 21 stesen radio menerusi empat paksi strategik, dengan Inovasi Penyiaran Luar sebagai teraju utama memecah sempadan fizikal dari lautan dalam ke puncak tertinggi.

Keberanian stesen negeri terbukti melalui JOHORfm yang bersiaran 8 jam tanpa henti dari Pulau Aur, MUTIARA fm dengan siaran 80 minit merentasi selat dari atas feri, NEGERIfm yang menakluk 8 puncak dalam 80 hari, dan KELANTANfm yang menyampaikan siaran ke gugusan Kepulauan Tumpat melalui Konvoi Bot Delta.

Transformasi digital RTM turut diperkuatkan melalui platform RTMKlik, dengan hampir 7 juta muat turun, yang menampilkan siri digital khas 'Radio ke Reels'.

Program ini menonjolkan evolusi penyiaran daripada sejarah awal hingga era A.I., melalui pengisian seperti Tiada Gen Z Tanpa Boomers dan Suara Di Belakang Kekuatan RTM, meraikan gabungan generasi serta peranan stesen radio negeri dalam menyatukan rakyat.

Melalui strategi integrasi antara bahagian ini, RTM terus menegaskan komitmennya sebagai 'Teman Setia Anda', mendengar denyut nadi rakyat sepanjang lapan dekad penyiaran. Orang ramai boleh mengikuti sambutan khas 80 tahun RTM melalui semua saluran RTM dan platform RTMKlik. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments