SLOGAN 'Teman Setia Anda' terus unggul di hati rakyat Malaysia. Masa berganti, zaman berubah, dan generasi bertukar, namun satu suara tetap hadir sebagai saksi sejarah, menjadi nadi dan cerminan identiti negara. Radio Televisyen Malaysia (RTM) bukan sekadar penyiaran; ia adalah amanah yang dipikul dengan penuh tanggungjawab, mendekati masyarakat, menaik taraf kandungan, dan mengekalkan peranan penting dalam menyatukan rakyat berbilang kaum.
Menandakan ulang tahun ke-80 pada 1 April, RTM menayangkan dokumentari khas bertajuk
Suara Negara, Amanah Zaman, mengimbas perjalanan organisasi sejak penubuhannya pada 1946 hingga ke era digital kini.
Dokumentari ini menyorot detik-detik penting sejarah RTM daripada siaran radio awal, kemunculan televisyen, sehingga inovasi penyiaran moden dan mengangkat legasi RTM sebagai suara rasmi rakyat dan medium perpaduan nasional.
Mengangkat Legasi & Transformasi RTM
Dokumentari ini turut menampilkan pertukaran kepimpinan Ketua Pengarah Penyiaran RTM dari dahulu hingga kini, masing-masing membawa visi tersendiri yang memperkukuh peranan RTM sebagai agen pendidikan, maklumat, dan keharmonian sosial.
Diterbitkan oleh Sharul Bahat dari Unit Majalah dan Dokumentari TV RTM, projek ini adalah penghormatan kepada legasi RTM dan dedikasi mereka dalam merealisasikan amanah
Suara Negara, Amanah Zaman.
Sharul berkongsi, idea dokumentari ini lahir sebagai tanda penghargaan terhadap perjalanan panjang RTM, menonjolkan evolusi penyiaran daripada radio, televisyen, kepada platform digital, sambil memberi pengiktirafan kepada tokoh-tokoh penyiaran terdahulu, khususnya barisan Ketua Pengarah RTM dari zaman awal hingga kini.
Cabaran terbesar termasuk pengumpulan arkib lama, memastikan ketepatan fakta sejarah, menghasilkan naratif seimbang, dan mencipta kandungan yang menarik perhatian penonton, terutamanya generasi muda.
Dengan dokumentari ini, RTM berharap dapat meninggalkan impak mendalam, meningkatkan kesedaran sejarah, memperkukuh identiti nasional, dan menegaskan relevansi RTM dalam era digital.
Suara Negara, Amanah Zaman juga berperanan mengangkat RTM sebagai agen pembangunan negara, sambil mengekalkan kepercayaan rakyat terhadap penyiaran awam.
Jangan ketinggalan untuk menonton dokumentari khas ini pada 1 April (hari ini), jam 9 malam di TV1 dan RTMKlik, dengan siaran ulangan pada 4 April 2026, jam 4.30 petang.
- 7KLIKARTIKEL LAIN:
0 Comments