RAMADAN sentiasa membawa bersama rasa kebersamaan, kenangan masakan tradisi serta momen berkumpul di meja makan bersama insan tersayang. Mengangkat semangat tersebut, Marvelous Mama Sdn Bhd memperkenalkan pengalaman bufet Ramadan baharu menerusi Iftar di Rumah Lauk, Shaftsbury Putrajaya sepanjang bulan penuh keberkatan ini.
Inisiatif ini hadir dengan konsep 'Dari Dapur Kami ke Meja Anda', menampilkan hidangan bercitarasa rumah yang diinspirasikan daripada resipi warisan tempatan.
Fokusnya bukan sekadar menyediakan juadah berbuka puasa, tetapi menghidupkan kembali suasana makan ala kampung yang semakin dirindui dalam gaya moden dan selesa, khususnya buat keluarga serta komuniti korporat di sekitar Putrajaya, Cyberjaya, Bangi dan Serdang.
Hari pembukaan yang berlangsung pada Sabtu lalu menerima sambutan menggalakkan dengan 200 pelanggan terawal berpeluang menikmati hidangan secara percuma, sekali gus menjadi permulaan meriah kepada keseluruhan pengalaman iftar yang ditawarkan. Turut hadir memeriahkan Iftar adalah penyanyi dan pelakon Linda Rafar, Diana Rafar dan Syed Aiman.
Dengan harga di bawah RM100, pengunjung disajikan lebih 150 variasi hidangan setiap hari merangkumi menu tradisi dan warisan Malaysia, diiringi persembahan buskers secara langsung serta kehadiran selebriti jemputan pada setiap hujung minggu.
Kemudahan surau turut disediakan bagi memudahkan pengunjung menunaikan solat Maghrib, Isyak dan Terawih tanpa perlu meninggalkan lokasi.
Sepanjang Ramadan, suasana yang diwujudkan bukan hanya tertumpu kepada kepelbagaian makanan, tetapi juga pengalaman berbuka yang santai dan menyeluruh, selari dengan usaha jenama ini untuk menjadikan makanan sebagai medium merapatkan hubungan masyarakat.
Kelainan Rasa Jadi Tarikan
Berbeza daripada kebanyakan bufet Ramadan lain yang lazimnya menampilkan kambing golek sebagai hidangan utama, Iftar di Rumah Lauk memperkenalkan Rusa Golek sebagai sajian istimewa setiap hari.
Diperap menggunakan rempah ratus tradisional sebelum dipanggang sehingga mencapai tekstur sempurna, hidangan ini mencerminkan keberanian jenama tersebut dalam menawarkan sesuatu yang luar daripada kebiasaan, sekali gus memberi pengalaman rasa yang lebih eksklusif kepada pengunjung.
Sebagai tanda penghargaan kepada pelanggan, pihak penganjur turut merancang cabutan bertuah pada 17 Mac ini dengan menawarkan pelbagai hadiah termasuk wang tunai dan emas, menambah elemen keterujaan sepanjang musim berbuka puasa ini.
Di sebalik penganjuran bufet Ramadan ini, Marvelous Mama Sdn Bhd sebenarnya telah lama membina reputasi sebagai pengeluar makanan sejuk beku sedia dimakan yang berjaya menembusi pasaran antarabangsa.
Antara produk eksport utama mereka termasuk rendang, lemang durian, ketupat palas, daging dendeng, sata ikan dan ayam serta acar ikan talang, yang kini dipasarkan hingga ke Dubai dan London.
Kejayaan produk seperti sata ikan dan ayam yang sering menerima pujian kerana keseimbangan rempah dan keaslian resipi tradisi memperlihatkan komitmen jenama ini dalam mengekalkan identiti rasa tempatan.
Lemang durian bersama serawa pula dijangka menjadi antara pilihan istimewa menjelang Aidilfitri, meneruskan misi mereka membawa cita rasa dapur Melayu ke pentas yang lebih luas.
Melangkah ke hadapan, Marvelous Mama turut merancang pembukaan restoran tetap Rumah Lauk di Kuala Lumpur pada penghujung April ini, sebelum memperluaskan jenama tersebut ke London dan Jakarta dalam tahun sama, satu langkah yang mencerminkan bagaimana masakan warisan tempatan terus berkembang merentas sempadan global.
- 7KLIKARTIKEL LAIN:
0 Comments