Filem ini membawa penonton menyelami makna kekitaan dan pencarian diri dalam latar kota metropolitan Tokyo yang moden dan penuh kontras.
Berlatarbelakangkan Tokyo masa kini, Rental Family menampilkan pemenang Anugerah Akademi Brendan Fraser sebagai seorang pelakon Amerika yang suatu ketika dahulu memiliki potensi besar, namun kini terumbang-ambing mencari tujuan dan rasa memiliki dalam masyarakat yang semakin membuatnya terasa terasing.
Hidupnya berubah arah apabila satu panggilan lakonan membawanya ke sebuah agensi 'Rental Family' di Jepun, di mana dia diupah untuk memainkan peranan sebagai ahli keluarga gantian buat individu yang mendambakan hubungan dan kehadiran emosi dalam hidup mereka.
Apa yang pada awalnya sekadar tugasan lakonan perlahan-lahan menjadi pengalaman yang jauh lebih mendalam. Garis antara persembahan dan realiti semakin kabur apabila wataknya mula terikat secara emosi dengan kehidupan klien-kliennya.
Setiap interaksi membuka ruang kepada empati dan belas ihsan yang selama ini terpendam, sehingga ada ketika dia terkeluar daripada skrip apabila hati mengambil alih peranan.
Diarahkan, ditulis bersama dan diterbitkan oleh Hikari, naskhah ini bukan sekadar sebuah drama tentang identiti, tetapi juga refleksi tentang keperluan manusia terhadap hubungan yang tulus.
Tayangan perdana dunia Rental Family berlangsung di Toronto International Film Festival sebelum ia meraih pelbagai Anugerah Pilihan Penonton di festival seperti Chicago International Film Festival, Woodstock Film Festival, Middleburg Film Festival, Hawaii International Film Festival dan Heartland Film Festival.
Filem ini dipuji sebagai karya yang bersifat 'universally resonant', menyentuh dan pada masa sama diselitkan humor yang halus. Ia turut meraih status Verified Hot di Rotten Tomatoes dengan skor Popcornmeter sebanyak 96 peratus (%), selain mencatat penarafan 88% Certified Fresh daripada pengkritik.
Selain Brendan Fraser, barisan pelakon lain yang turut menguatkan naratif filem ini termasuk Takehiro Hira, Mari Yamamoto, Shannon Mahina Gorman serta Akira Emoto.
Naskhah ini mengisahkan perjalanan seorang pelakon Amerika yang bergelut mencari makna hidup sehingga menerima pekerjaan luar biasa di sebuah agensi di Jepun. Dalam usahanya menyelami kehidupan klien yang berbeza-beza, dia membina hubungan yang tulen dan tidak dijangka.
Ketika berdepan dilema moral dan batas profesional yang semakin kabur, dia akhirnya menemukan semula tujuan hidup, rasa memiliki dan keindahan sunyi dalam hubungan manusia yang sebenar.
Rental Family yang diterbitkan Eddie Vaisman serta Julia Lebedev dari Sight Unseen Pictures, serta Shin Yamaguchi dari Knockonwood ini mengajak penonton membuka hati dan melihat bahawa kadangkala, peranan yang kita lakonkan mampu membawa kepada versi diri yang paling jujur. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments