| Kehadiran pengarah dan barisan pelakon Night King di Pavilion Kuala Lumpur menjadi kejutan istimewa buat peminat Malaysia | FOTO: Sony Pictures Entertainment |
MENJELANG tayangan Night King pada 16 Februari ini, Sony Pictures Entertainment memberi kejutan istimewa buat peminat dengan membawa pengarah dan barisan pelakon filem itu ke Malaysia.
Dalam siri jelajah promosi di Pavilion Kuala Lumpur pada 11 Februari lalu, Jack Ng hadir bersama superstar Cantopop Sammi Cheng, pelakon asal Malaysia; Fish Liew, dan Miko Wong.
Kehadiran mereka disambut dengan penuh keterujaan oleh lebih 5,000 peminat yang memenuhi pusat membeli-belah itu meskipun acara berlangsung pada hari bekerja.
Sesi yang berlangsung selama hampir satu jam itu memberi peluang kepada barisan pelakon dan pengarah untuk berkongsi mengenai filem itu, selain beramah mesra dengan peminat yang tidak putus memberi sokongan.
Sammi Cheng tentunya paling mencuri perhatian ramai apabila kembali ke Malaysia selepas 10 tahun. Superstar ini disambut dengan sorakan gemuruh 'Hou Gwai Leng' (Cantik Menawan), membuatkan suasana bertambah hangat.
Dalam nada santai dan penuh semangat, Sammi turut mengucapkan terima kasih buat peminat yang setia menyokong kerjaya seninya.
“Selepas menonton Night King, jangan lupa datang ke konsert saya," ujarnya merujuk kepada konsert Sammi Cheng 'You & Me' yang bakal berlangsung di Axiata Arena Kuala Lumpur pada 17 & 18 April depan.
Mengulas tentang tayangan Night King di Malaysia, Jack Ng menegaskan bahawa tayangan filem itu akan sama sepenuhnya seperti versi Hong Kong dan tiada sebarang potongan, sekali gus memberi pengalaman asli kepada penonton tempatan.
Pengarah itu turut memuji Lembaga Penapisan Filem Malaysia kerana bersikap terbuka, sekali gus membolehkan penonton tempatan menikmati naskhah asal sepenuhnya.
Dalam acara sama, Jack turut berkongsi berita membanggakan, Fish Liew telah dicalonkan untuk Pelakon Wanita Terbaik di 44th Hong Kong Film Awards menerusi filem The Love Like This. Sebagai bakat kelahiran Malaysia, pencalonan itu pastinya mengundang keterujaan peminat tempatan yang mengharapkan kerjaya pelakon itu terus berkembang ke peringkat lebih tinggi.
Pengalaman Penuh Emosi dan Sinematik
Terdahulu pada sebelah pagi hari sama, Jack Ng dan barisan pelakon menghadiri sidang media dan berkongsi aspirasi mereka agar Night King mendapat sambutan ramai dan dapat menyaingi kejayaan blockbuster arahannya sebelum ini, A Guilty Conscience.
Suasana sidang media itu dipenuhi aura semangat, menunjukkan betapa besar komitmen pasukan terhadap filem yang paling dinantikan untuk Tahun Baru Cina ini.
Sammi Cheng yang kembali ke layar perak dengan watak Madame V iaitu CEO berpengaruh sebuah kelab malam mewah, berkongsi pengalamannya bekerjasama dengan teraju utama, Dayo Wong yang disifatkannya sebagai 'harta karun' dan 'penanda baharu' dalam kerjayanya.
“Pemahamannya terhadap watak sangat teliti, dan chemistry antara kami jelas dalam setiap babak. Projek ini membolehkan saya menemui pelbagai sisi baharu bakatnya, dan saya tidak sabar untuk kolaborasi akan datang,” kongsinya.
| Sammi akui keserasian antara pengarah dan pelakon menjadi antara kelebihan filem Night King | FOTO: Sony Pictures Entertainment |
Tambah Sammi, untuk menambahkan keunikan wataknya, dia turut menambah tahi lalat ikonik berhampiran bibir, satu detail yang menarik perhatian Dayo dan menunjukkan dedikasinya terhadap penghayatan watak.
Selain itu, keserasian antara barisan pelakon dan pengarah sepanjang penggambaran jelas membawa dimensi baharu kepada setiap babak, menjadikan watak-watak lebih hidup dan interaksi lebih natural di layar.
Night King bukan sekadar naskhah komedi biasa, tetapi ia adalah pengalaman visual dan emosi lengkap yang menggabungkan elemen humor, drama, dan aksi dalam satu naskhah menghiburkan. Filem ini akan rasmi ditayangkan di seluruh Malaysia bermula 16 Februari ini. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments