Reunion Selepas 20 Tahun: The Devil Wears Prada 2 Kembali Ke Pawagam 30 April Ini



THE Devil Wears Prada 2 akhirnya sah kembali ke layar perak, setelah hampir dua dekad filem asalnya menjadi fenomena budaya global yang terus dirujuk hingga kini.

Sekuel yang dinanti-nantikan ini akan ditayangkan di pawagam 30 April 2026, sekali gus menghidupkan semula pesona, glamor dan drama runway yang pernah memikat hati jutaan penonton seluruh dunia.

Kali ini, filem ini membawa penonton kembali ke dunia runway, dari jalanan New York hinggalah ke pejabat majalah yang ikonik itu, mengimbau kembali detik-detik yang menjadikan filem pertama sebuah karya kultus.

Barisan pelakon asal Meryl Streep, Anne Hathaway, Emily Blunt dan Stanley Tucci kembali menghidupakan watak Miranda, Andy, Emily dan Nigel, satu reunion yang pasti membuat peminat generasi terdahulu tersenyum mengenang nostalgia.

Tidak ketinggalan, watak Lily dan Irv yang dimainkan oleh Tracie Thoms dan Tibor Feldman juga kembali, menambahkan lagi kesinambungan dunia runway yang telah lama dirindui.

Di belakang tabir, pengarah David Frankel dan penulis skrip Aline Brosh McKenna kembali bersama pasukan produksi, memastikan kesinambungan gaya, humor, dan suara yang pernah mentakrif semula genre fesyen dalam filem asal.

The Devil Wears Prada 2 diterbitkan oleh Wendy Finerman, dengan sokongan eksekutif daripada Michael Bederman, Karen Rosenfelt dan McKenna sendiri.

Selain wajah‑wajah familiar itu, sekuel ini turut memperkenalkan barisan watak baru termasuk Kenneth Branagh, Simone Ashley, Justin Theroux, Lucy Liu, Patrick Brammall, Caleb Hearon, Helen J. Shen, Pauline Chalamet, B.J. Novak dan Conrad Ricamora.

Kehadiran mereka bukan sahaja menambah warna baru dalam dunia Runway, tetapi juga memberikan perspektif moden terhadap industri fesyen yang terus berkembang.


Trailer rasmi The Devil Wears Prada 2 yang baru dilancarkan menerima sambutan hangat daripada peminat di seluruh dunia, membangkitkan rasa teruja menjelang tayangan filem ini di pawagam pada April ini.

Keghairahan peminat jelas terasa, menjadikan sekuel ini bukan sahaja dinanti-nantikan dari segi jalan cerita, tetapi juga sebagai fenomena budaya yang memukau generasi baru dan lama.

Dengan reunion pelakon utama dan kehadiran bakat baharu, The Devil Wears Prada 2 dijangka menjadi perbualan hangat bukan sahaja dalam kalangan peminat fesyen tetapi juga komuniti filem global, mengekalkan status filem asal sebagai karya kultus yang terus relevan selepas 20 tahun.  - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:


Post a Comment

0 Comments