APA yang terbayang di fikiran apabila menyebut tentang tradisi makan besar, pemberian angpau, buah limau dan hiasan tanglung? Malah tidak lengkap rasanya tanpa irama pukulan gendang yang mengiringi tarian singa dan naga, simbol kemeriahan serta keberkatan.
Semua elemen ini pastinya menggambarkan suasana sambutan Tahun Baharu Cina yang bakal diraikan pada 17 dan 18 Februari ini.
Namun, perayaan ini bukan sekadar tentang kemeriahan semata-mata. Ia menjadi ruang untuk keluarga berkumpul, merapatkan hubungan, serta meluangkan masa bersama insan tersayang. Detik istimewa yang sentiasa dinanti-nantikan setiap tahun.
Menekankan nilai keharmonian, saling menghormati dan perpaduan dalam masyarakat Malaysia yang berbilang kaum, Radio Televisyen Malaysia (RTM) menyemarakkan sambutan Tahun Baru Cina dengan pelbagai kandungan istimewa yang dekat di hati, penuh warna dan makna untuk seisi keluarga.
Pelbagai genre program khas telah disusun bagi mencipta detik bermakna dan kenangan indah sepanjang musim perayaan ini. Kesemuanya bakal menemui penonton di TV1, TV2 dan TV Okey, selain boleh ditonton di mana-mana dan pada bila-bila masa menerusi RTMKlik.
Telefilem: Soulmate Ke 214 Februari (Sabtu), 1.30 petang – TV1
Pelakon: Amar Asyraf, Sharifah Husna, Daniella Sya, Angeline Tan, Chew Kin Wah, Yaya Maembong dan Erry Putra
Joanna aktif menjalankan kerja kebajikan bersama Mirza. Dalam masa sama, keluarganya merancang untuk menjodohkannya dengan Andy. Konflik memuncak apabila Joanna memilih untuk memeluk Islam dan berkahwin dengan Mirza.
Telefilem: Ah Chong Posmen
14 Februari (Sabtu), 9 malam – TV1
Pelakon: Al Kahoe Hun, Afifah Nasir, Wan Gegau dan Kenji Sawahi
Ah Chong memohon pekerjaan sebagai posmen semata-mata untuk menghantar surat cinta kepada Fatimah, anak Ketua Kampung. Dalam usaha mengejar cinta, dia mula menyedari betapa tugas posmen banyak membantu masyarakat setempat. Namun, hasratnya ditentang keluarga yang mahu dia menguruskan kedai ikan milik ayahnya.
Filem: I Did It My Way
16 Februari (Isnin), 10 malam – TV2
Pelakon: Andy Lau, Gordon Lam, Eddie Peng dan Cya Liu
Filem ini mengisahkan seorang lelaki yang melalui pelbagai liku kehidupan dan konflik peribadi, memilih untuk menempuh jalannya sendiri tanpa tunduk kepada tekanan masyarakat. Dia berdepan cabaran dan pilihan sukar demi mencari makna sebenar kehidupan, cinta dan kejujuran diri.
Telefilem: Dim Sum Yu Wen
17 Februari (Selasa), 9 malam – TV1
Pelakon: Roger Shak Yi, Chelsia Ng, Chai Zi dan Nadiya Nisaa
Yu Wen berpindah ke kampung selepas bapanya diberhentikan kerja. Pada awalnya dia sukar menyesuaikan diri di sekolah kebangsaan, namun dengan bantuan rakan-rakan baharu, Yu Wen akhirnya menemui keyakinan dan persahabatan yang bermakna.
Drama: Bao Bei
17 Februari (Selasa), 4 petang – TV2
Pelakon: Mandy Chong, Kenji Sawahi, Ramona Zam Zam dan DS Alif Syukri
Penemuan seorang bayi perempuan di hadapan taska milik Angeline mengubah kehidupannya secara drastik. Angeline nekad menjadikan bayi itu sebagai anak angkat. Namun, keputusannya mendapat tentangan hebat keluarga, terutama bapanya, memandangkan bayi tersebut berlainan bangsa dan agama.
Muzikal: Gallop Of Glory
17 Februari (Selasa), 9 malam – TV2
Artis: Nick Chung, Stella Chung, Nicole Lai dan Isaaz Voo
Muzikal khas Tahun Baharu Cina terbitan Unit Hiburan TV RTM ini tampil menyemarakkan sambutan Tahun Kuda 2026 dengan persembahan penuh warna dan semangat.
Telefilem: Periuk Harmoni
17 Februari (Selasa), 9.30 malam – TV Okey
Pelakon: Cedric Tan, Cheok Mee Tin, Lim Jian Wen dan Phoebe Tan
Baba Tan, seorang lelaki Peranakan tradisional, secara tidak sengaja tertukar senarai membeli-belah Tahun Baharu Cina dengan jirannya yang berketurunan Portugis. Kekeliruan itu mencetuskan pelbagai situasi mencuit hati yang mengangkat nilai toleransi dan kejiranan.
Dokumentari: Sutera Budaya – Cina Peranakan Melaka
17 & 18 Februari (Selasa & Rabu), 4.30 petang – TV1
Dokumentari ini mengetengahkan usaha Ralph Gan, Baba generasi kelapan, dalam mendokumentasikan budaya Baba Nyonya Melaka yang telah lama berasimilasi dengan budaya Melayu tempatan.
Telefilem: Be Around You
18 Februari (Rabu), 9 malam – TV2
Pelakon: Lynn Lim, Catz Teh dan JC Lee
Mak Cik Hua mahir menyediakan kuih Nyonya tradisional, manakala menantunya, Elly, merupakan wanita moden dan berdikari tetapi kurang cekap dalam urusan rumah tangga. Perbezaan mereka menimbulkan konflik, namun satu peristiwa tidak dijangka mengubah hubungan yang sebelum ini renggang menjadi lebih akrab.
Telefilem: Mr Philophobia
18 Februari (Khamis), 9 malam – TV Okey
Pelakon: Aniq Durar, Nina Smith, Aleza Shadan, Daler Yusof dan Zahreen Harris
Rykal yang mengaku mengalami gangguan philophobia meninggalkan majlis perkahwinannya pada saat akhir, sekali gus menjadi tular dan bergelar instafamous. Namun, dia menyedari ketakutannya terhadap cinta mula berubah apabila berdamping dengan Cyristal, yang sebenarnya mempunyai agenda tersendiri.
Dokumentari: Jurnal Ang Pao
18 & 19 Februari (Rabu & Khamis), 12.30 tengah hari – TV Okey
Dokumentari ini menampilkan beberapa tetamu jemputan yang mengupas pelbagai topik berkaitan sambutan Tahun Baharu Cina, daripada tradisi hingga evolusi budaya dalam masyarakat moden.
Sebagai medium penyatuan rakyat, RTM terus memainkan peranan penting dalam menyemarakkan semangat perpaduan menerusi kandungan yang mencerminkan kepelbagaian budaya Malaysia.
Melalui barisan program khas ini, penonton bukan sahaja disajikan hiburan berkualiti, malah dihidangkan dengan nilai kekeluargaan, toleransi dan keharmonian yang menjadi teras masyarakat majmuk negara ini.
Sama ada memilih untuk menonton telefilem santai bersama keluarga, menghayati dokumentari sarat sejarah, atau menikmati persembahan muzikal penuh warna, musim perayaan kali ini pastinya lebih bermakna dengan pilihan rancangan istimewa di kaca televisyen.
- 7KLIKARTIKEL LAIN:
0 Comments