| Jack Lim dan Jack Neo membuat kemunculan dengan karakter ikonik masing-masing sebagai Ah Beng dan Liang Po Po | FOTO: GSC Movies |
FILEM paling dinanti sempena sambutan Tahun Baharu Cina 2026, Ah Beng VS Liang Po Po, tampil mencuri tumpuan menerusi tayangan gala yang berlangsung dalam suasana penuh kemeriahan di GSC Mid Valley Megamall baru-baru ini.
Acara itu menjadi tumpuan peminat, sekali gus menandakan permulaan memberangsangkan buat naskhah aksi-komedi ikonik ini menjelang musim perayaan.
Keterujaan jelas dirasai apabila tetamu serta peminat membanjiri kawasan karpet merah sebelum tayangan bermula. Malah acara ni mencatat sejarah tersendiri sebagai antara gala terbesar pernah dianjurkan, melibatkan kesemua 21 dewan tayangan di GSC Mid Valley dengan kehadiran lebih 2,700 penonton dalam satu malam.
Kemeriahan acara mencapai kemuncak dengan kehadiran lapan kumpulan tarian singa yang tampil lengkap dengan paluan gendang bertenaga dan sorakan perayaan.
Persembahan tersebut bukan sekadar simbol tradisi, malah membawa makna tuah, momentum kutipan box office yang positif serta pembukaan yang penuh keyakinan buat sebuah crossover IP ikonik Malaysia–Singapura yang disifatkan sebagai 'sekali dalam satu generasi'.
Sorakan penonton bergema sebaik sahaja Jack Lim dan Jack Neo membuat kemunculan dengan karakter ikonik masing-masing sebagai Ah Beng dan Liang Po Po. Pertembungan dua figura ini mencetuskan keterujaan luar biasa, disusuli dengan interaksi dan ‘perang komedi’ yang menghidupkan lagi suasana malam gala tersebut.
Menambahkan lagi kemeriahan, kumpulan popular 3P tampil dengan persembahan langsung lagu tema filem berjudul Horkasai.
Dua Watak Ikonik Bertembung di Layar Perak
Lebih daripada sekadar sebuah crossover bersejarah dua IP klasik, Ah Beng VS Liang Po Po hadir sebagai filem Tahun Baharu Cina yang menggabungkan perbezaan budaya Malaysia–Singapura, dinamika generasi serta emosi kekeluargaan dalam satu pengalaman tontonan yang menghiburkan dan penuh warna.
Filem ini mengisahkan Ah Beng, seorang bapa biasa yang kehidupannya berubah menjadi huru-hara apabila anak perempuannya, Xiao Yun, diculik oleh sindiket pemerdagangan manusia ketika siasatan pihak berkuasa menemui jalan buntu.
Dalam keadaan terdesak, Ah Beng berganding bahu dengan sekumpulan individu yang kelihatan serba kekurangan, namun masing-masing memiliki kelebihan tersendiri untuk membentuk sebuah pasukan penyelamat yang tidak disangka-sangka. Liang Po Po merupakan salah seorang anggota penting dalam kumpulan tersebut.
Pasukan ini kemudiannya melancarkan misi berani dengan menyusup ke sarang penjenayah, berdepan tipu daya, keganasan serta zon kelabu moral demi menjejaki kebenaran. Kejar-mengejar penuh aksi yang absurd namun mendebarkan ini menjadi tulang belakang kepada perjalanan mereka, menjadikan misi tersebut lebih daripada sekadar usaha menyelamat, tetapi sebuah pengorbanan demi keluarga, maruah dan cinta.
Sejak babak pembukaan, filem ini berjaya mencetuskan gelak tawa tanpa henti hasil tempo penceritaan yang kemas serta gabungan aksi dan komedi yang dipacu secara seimbang.
Energi dan keseronokan yang ditampilkan memenuhi jangkaan sebuah filem perayaan, sambil menyelitkan elemen kesetiaan serta hubungan kekeluargaan yang menyentuh emosi di sebalik kekacauan dan adegan mendebarkan.
| Ah Beng VS Liang Po Po akan temui penonton pada 17 Februari ini | FOTO: GSC Movies |
Menariknya sidang media yang berlangsung selepas tayangan turut berlangsung dalam suasana ceria apabila Jack Lim dan Jack Neo sepenuhnya menghidupkan karakter ‘pelawak’ mereka, menjadikan sesi tersebut seolah-olah sebuah rancangan bual bicara spontan yang dipenuhi gelak ketawa.
Selain dua bintang utama ini, filem tersebut turut dibintangi oleh Chan Keat Yoke, Terence Cao, Danny Lee, Jestinna Kuan, Ivory Chia, Easy Yu Zhi, Wayne Thong, Daniel dan Jovi Heng.
Ia juga menyatukan semula barisan pelakon asal Ah Beng termasuk Mavis Mei Yan, Royce, Jeff Chin, Bernard Hiew, Jiang Han, Wai Fun, Yumi Wong serta maestro tarian singa, Siow Ho Phiew, di samping penampilan istimewa pelakon senior Mandy Chong dan Gurmit Singh.
Diterbitkan oleh Dreamax Production Sdn Bhd, The Film Engine Sdn Bhd dan Asia Tropical Films Sdn Bhd, dengan Elepfilm Entertainment Sdn Bhd sebagai penerbit bersama, Ah Beng VS Liang Po Po bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 17 Februari ini. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments