"Ini adalah perjalanan emosi dan penghargaan buat peminat" - Ella Sedia Gegar Stadium Nasional Bukit Jalil


MENJELANG detik bersejarah konsert Majlis Tertinggi Rockqueen Ella yang bakal berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 14 Februari ini, ratu rock negara, Ella, kini giat melakukan persiapan rapi bagi merealisasikan persembahan berskala mega yang dijangka mencipta sejarah tersendiri dalam perjalanan seninya.

Menambah keterujaan peminat, Ella atau nama sebenarnya Nor Zila Aminuddin, turut mengumumkan barisan artis undangan yang bakal memeriahkan konsert istimewa itu.

Antara nama yang bakal berkongsi pentas ialah Tam Spider, Sam Bunkface, Amir Masdi, selain penampilan istimewa The Boys (Ella & The Boys) yang membawa simbolik penyatuan generasi serta penghormatan terhadap legasi seni yang telah dibina sejak sekian lama.

Pengumuman tersebut dibuat dalam suasana santai menerusi satu majlis jamuan makan tengah hari bersama media yang berlangsung di Restoran Cili Kampung, Sunway Pyramid pada Khamis lalu.

Menurut Ella, majlis itu diadakan sebagai tanda penghargaan kepada para pengamal media yang sentiasa menyokong perjalanan seninya selama lebih tiga dekad, selain menjadi simbol hubungan erat yang terjalin antara kedua-dua pihak sepanjang tempoh tersebut.

Mengulas mengenai Majlis Tertinggi Rockqueen, Ella yang bakal menyambut ulang tahun ke-60 pada Julai depan menyifatkan konsert ini sebagai sebuah perjalanan emosi yang sarat dengan makna peribadi.

Menurutnya, ia bukan sekadar sebuah persembahan, sebaliknya penghargaan terhadap sokongan berterusan peminat yang setia mengiringi langkah seninya sejak awal kerjaya.

“Ini adalah perjalanan emosi dan penghargaan buat peminat yang telah bersama saya sejak awal kerjaya.

"Kami sedang mengukuhkan kandungan konsert selain menjalani latihan intensif melibatkan fizikal, vokal dan mental kerana ini merupakan persembahan solo terbesar sepanjang karier saya,” jelasnya.

Tambah penyanyi Sepi Sekuntum Mawar Merah itu lagi, konsert berkenaan bertunjangkan misi kebajikan, selari dengan kepercayaannya bahawa muzik mampu menyatukan serta memberi impak bermakna kepada masyarakat.

“Anda bukan sekadar penonton, tetapi anda adalah sebahagian daripada sejarah itu sendiri,” ujarnya penuh makna.

Produksi Berskala Mega

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengasas Hitman Group selaku penganjur, Rohit Rampal, menyifatkan pembinaan pentas konsert tersebut dirancang dengan penuh teliti sebagai tanda penghormatan terhadap legasi Ella.

Menurutnya, setiap aspek termasuk audio, visual dan susunan kandungan persembahan digarap secara menyeluruh bagi memberikan pengalaman bertaraf antarabangsa yang belum pernah disaksikan di Malaysia.

Konsep pentas Separa Bulan (Half Moon) sepanjang 35 meter yang bakal digunakan melambangkan Majlis Tertinggi Rockqueen sebagai simbol penyatuan peminat, menghimpunkan pencinta muzik daripada pelbagai generasi dalam satu ruang sejarah yang dicipta bersama.

Barisan artis jemputan yang akan bersama Ella di Majlis Tertinggi Rockqueen

Sebagai pelengkap pengalaman konsert, pelbagai cenderamata eksklusif rasmi termasuk koleksi t-shirt, jersi, baju panas, jaket, topi, beg serta barangan rasmi lain turut ditawarkan kepada peminat sejak 14 Januari 2026 menerusi laman web rasmi penganjur.

Majlis Tertinggi Rockqueen Ella bukan sekadar sebuah konsert, sebaliknya sebuah perayaan legasi, dedikasi dan perjalanan seni seorang ikon yang terus relevan merentasi zaman, sekali gus menegaskan status Ella sebagai ratu rock yang kekal utuh dalam sejarah muzik tanah air.


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments