PELAKON legenda, Catherine O’Hara, yang terkenal dengan peranan dalam Home Alone dan Schitt’s Creek, dilapor meninggal dunia di kediamannya di Los Angeles, Amerika Syarikat, pada Jumaat.
Bintang asal Kanada itu menghembuskan nafas terakhir pada usia 71 tahun dan disahkan oleh wakil agensi dalam satu kenyataan. Bagaimanapun, punca sebenar kematiannya tidak dinyatakan.
“Pelakon, penulis dan pelawak prolifik yang memenangi pelbagai anugerah, Catherine O’Hara, meninggal dunia hari ini di rumahnya di Los Angeles,” ujar kenyataan itu.
O’Hara memulakan kerjayanya di Toronto pada era 1970-an bersama kumpulan komedi SCTV, di mana dia bertemu Eugene Levy, rakan kolaborasinya sepanjang hayat.
Kepintarannya dalam menulis dan lakonan membawanya meraih Emmy Award pertama sebagai penulis di SCTV, dan kemudian Emmy kedua sebagai Pelakon Wanita Terbaik Siri Komedi untuk wataknya sebagai Moira Rose dalam
Schitt’s Creek.
Watak Moira Rose cukup terkenal dengan loghat dramatik, gaya fesyen eksentrik dan dialog satu baris yang memukau, kekal menjadi antara watak komedi paling berkesan dalam sejarah televisyen moden. Malah karakter itu turut menjadi simbol kreativiti dan keberanian dalam lakonan.
O’Hara juga dikenali menerusi wataknya sebagai Kate McCallister, ibu Kevin McCallister lakonan Macaulay Culkin dalam filem klasik
Home Alone (1990). Filem ini menjadi siaran wajib musim Krismas dan terus memikat penonton dari generasi ke generasi.
Mendiang tetap aktif dalam dunia lakonan sehingga akhir hayatnya apabila tampil membintangi siri Hollywood
The Studio arahan Seth Rogen dan
The Last of Us terbitan HBO pada tahun lalu. Kedua-duanya melayakkan namanya tersenarai dalam pencalonan Emmy, menjadikan keseluruhan pencalonannya sebanyak 10 sepanjang kerjaya.
O'Hara meninggalkan suami, Bo Welch, yang dikahwininya selama 33 tahun, serta dua anak lelaki mereka, Luke dan Matthew. Pemergiannya meninggalkan ruang besar dalam dunia hiburan, namun warisannya melalui lakonan, komedi, dan kreativiti akan terus dikenang generasi demi generasi.
- 7KLIKARTIKEL LAIN:
0 Comments