VOKALIS utama dan pengasas bersama kumpulan rock Amerika Syarikat, 3 Doors Down, Brad Arnold, meninggal dunia pada usia 47 tahun selepas bertarung dengan kanser buah pinggang tahap empat.
Pemergian Arnold disahkan menerusi satu kenyataan rasmi yang dikongsikan oleh 3 Doors Down di platform X pada Sabtu.
Dalam kenyataan tersebut, kumpulan itu memaklumkan mendiang menghembuskan nafas terakhir dengan tenang dalam tidurnya di sisi isteri tercinta, Jennifer, sekali gus menamatkan tempoh ketidaktentuan sejak mendedahkan keadaan kesihatannya kepada umum tahun lalu.
3 Doors Down turut mengenang Arnold sebagai figura penting yang membentuk identiti muzik mereka, serta suara utama yang membawa kumpulan itu ke pentas arus perdana global.
Pada Mei 2025 Arnold mendedahkan dia disahkan menghidap karsinoma sel jernih buah pinggang tahap empat, sejenis kanser agresif yang telah merebak ke paru-paru.
Diagnosis itu memaksa kumpulan berkenaan membatalkan jelajah muzik yang dirancang, ketika Arnold memulakan rawatan dan memberi tumpuan kepada kesihatannya.
Perjalanan Seni & Sumbangan Brad Arnold
Ditubuhkan di Escatawpa, Mississippi pada pertengahan 1990-an, 3 Doors Down muncul sebagai antara kumpulan post-grunge paling berpengaruh pada awal era 2000-an.
Mereka mencipta fenomena global menerusi lagu
Kryptonite, yang ditulis oleh Arnold ketika masih di bangku sekolah menengah, sebelum berkembang dengan deretan lagu hit lain seperti
Here Without You, When I’m Gone, Be Like That dan
It’s Not My Time.
Album debut mereka,
The Better Life, yang dilancarkan pada tahun 2000, menjadi antara album rock terlaris di Amerika Syarikat dan melonjakkan nama 3 Doors Down sebagai suara penting dalam muzik rock arus perdana.
Sepanjang kerjaya, kumpulan ini turut meraih pelbagai pengiktirafan termasuk anugerah industri muzik serta kejayaan carta di peringkat antarabangsa.
Selain dikenali sebagai penulis lagu yang sarat emosi dan dekat dengan pengalaman pendengar, Arnold juga terbuka berkongsi perjalanan peribadinya, termasuk perjuangan melawan ketagihan alkohol. Mendiang mendedahkan telah bebas alkohol sejak 2016, satu keputusan yang sering disebutnya sebagai titik perubahan besar dalam hidup dan kerjayanya.
Brad Arnold meninggalkan legasi besar dalam dunia muzik rock moden, dikenang sebagai insan yang rendah hati, penuh empati dan sentiasa menghargai sokongan peminat. Karya-karyanya bersama 3 Doors Down terus hidup sebagai suara yang menemani, menyentuh dan membentuk kenangan jutaan pendengar di seluruh dunia.
- 7KLIKARTIKEL LAIN:
0 Comments