[AlFatihah] Misteri Kehilangan Terjawab, Nadia Kesuma Meninggal Dunia di Jeddah


KEHILANGAN pelakon, Nadia Kesuma, 50, akhirnya terjawab apabila disahkan telah meninggal dunia di Jeddah pada Khamis lalu.

Pemergian Allahyarham disahkan oleh anak perempuannya menerusi satu hantaran di media sosial Threads pada awal pagi Ahad.

“Assalamualaikum semua, saya ingin memaklumkan bahawa mama saya, Nadiah Kasumawati Abdul Karim telah pun kembali ke Rahmatullah pada 15 Januari lalu (Khamis) kira-kira pukul 8.05 pagi.

“Terima kasih kepada kalian yang tidak berhenti menitipkan doa buat mama. Mohon doakan arwah ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman, diampunkan segala dosanya dan dirahmati Allah," ujarnya.

Dalam hantaran sama, anak Allahyarham memaklumkan ibunya mengalami serangan sakit jantung sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz, Jeddah, namun situasi menjadi sukar apabila keluarga tidak menerima sebarang makluman awal mengenainya.

“Arwah meninggal disebabkan sakit jantung dan kemudiannya telah dibawa ke hospital pada hari yang sama arwah tiba di Lapangan Terbang Jeddah.

“Tiada pihak yang memaklumkan kepada kami sekeluarga tentang keadaan arwah sehinggalah malam ini pada pukul 11.10 malam. Berita tersebut disampaikan oleh agensi pelancongan itu sendiri,” ujarnya.

Perkembangan sama turut disahkan oleh suami Allahyarham, Prof Dr Muhammad Kamarul Kabilan Abdullah, 57, yang merupakan pensyarah di Universiti Sains Malaysia (USM), menerusi satu hantaran di Facebook. Muhammad Kamarul bersama anak perempuannya dijadualkan berlepas ke Jeddah bagi menguruskan urusan berkaitan jenazah.

Terdahulu, Nadia atau nama sebenarnya Nadiah Kasumawati Abdul Karim dilaporkan hilang tanpa dapat dikesan selepas tiba di Jeddah pada 14 Januari lalu.

Pelakon filem Syaitan Munafik dan Kudeta itu merupakan antara 21 jemaah yang menyertai pakej Umrah-London-Paris bersama sebuah agensi pelancongan, dengan perjalanan yang dijadualkan berlangsung dari 14 hingga 28 Januari. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments