HANYA beberapa jam penerbangan dari Kuala Lumpur, Hong Kong kini menawarkan takrif baharu untuk memulihkan tenaga dan menyegarkan semula minda.Musim ini, bandar metropolitan yang sinonim dengan bangunan pencakar langit dan irama urban yang berdenyut pantas itu memperkenalkan sisi yang lebih santai. Ia menggabungkan bayu laut yang menyegarkan, laluan berbasikal yang mengasyikkan serta ruang kesihatan baharu yang menjemput pengunjung untuk bergerak, meneroka dan berehat sepuasnya.
Apabila cuaca mulai sejuk menjelang November dan Disember, inilah waktu terbaik untuk rakyat Malaysia menukar bahang tropika kepada kesejukan musim luruh sambil menyelami pengalaman baharu yang menyegarkan tubuh dan menenangkan minda.
Daripada kembalinya acara ikonik Hong Kong Cyclothon hinggalah kepada lokasi tepi air yang telah diubah suai, terdapat pelbagai cara baharu untuk menikmati keseimbangan, tenaga dan sedikit pengembaraan di kota permata Asia ini.
Kayuh Menyusuri Bandar di Hong Kong Cyclothon Carnival
Pada 30 November 2025, Sun Hung Kai Properties Hong Kong Cyclothon kembali menghidupkan seluruh bandar dengan acara berbasikal berskala besar yang dirayakan peserta dari seluruh dunia. Atlet elit, pengayuh berpengalaman dan peminat aktiviti hujung minggu sama-sama menakluk laluan dengan latar paling sinematik Victoria Harbour yang ikonik.
Di luar laluan perlumbaan, West Kowloon Cultural District menjadi nadi kepada Cyclothon Carnival, sebuah festival hujung minggu yang menyatukan kesihatan, muzik dan aktiviti kecergasan. Pengunjung boleh mengikuti bengkel yang dikendalikan jurulatih profesional, merangkumi senaman klasik hingga sukan moden yang semakin mendapat perhatian.
Rasai pengalaman menunggang basikal penny-farthing vintaj, ketahui mengapa padel menjadi fenomena global, atau segarkan tubuh dengan sesi regangan dan Zumba.
Selain itu, kawasan karnival turut menawarkan ruang santai untuk menikmati persembahan busking secara langsung, sambil menjamu selera dengan kopi, gelato dan snek tempatan.
Pasar bertema sukan menampilkan koleksi pakaian aktif, peralatan teknologi dan barangan gaya hidup daripada jenama tempatan dan antarabangsa—tarikan yang pasti digemari pencinta aktiviti sihat.
Tarikan Sukan & Rekreasi Tepi Air
Bagi pengunjung dari Malaysia yang mencari gabungan rekreasi dan ketenangan, destinasi kesihatan baharu Hong Kong, GO PARK Sai Sha, merupakan lokasi yang tidak boleh dilepaskan.
Terletak di antara Wu Kai Sha dan Sai Kung, kawasan tepi air seluas 1.3 juta kaki persegi ini menyatukan elemen sukan, gaya hidup dan alam semula jadi dalam satu ruang yang menyegarkan.
Di bahagian GO PARK Sports, pengunjung baik atlet mahupun pemula boleh menikmati pelbagai kemudahan daripada trek basikal dan larian bertaraf profesional hingga gelanggang pickleball luar pertama di Hong Kong.
Kompleks ini turut menyediakan padang golf awam dengan teknologi radar Trackman, gelanggang padel, gelanggang tenis, padang bola sepak dan lacrosse, kawasan basikal imbangan dan gelanggang serbaguna.
Sementara itu, GO PARK Aqua membuka peluang untuk menerokai pesisir Hong Kong melalui aktiviti seperti kayak, stand-up paddleboarding, wingfoiling dan snorkeling. Pengunjung juga boleh menaiki bot ke Sham Chung, perkampungan Hakka mempesona yang dikelilingi kehijauan serta formasi geologi unik.
Di sini, mereka berpeluang mencuba aktiviti memancing tali tangan sebelum menikmati makan tengah hari makanan laut segar, sebuah pengalaman yang mencerminkan warisan perikanan tempatan.
Akses ke lokasi ini juga mudah, kurang satu jam perjalanan dari bandar melalui MTR dan feri. Kemudahan ini menjadikan GO PARK Sai Sha pilihan ideal bagi mereka yang gemar merancang percutian hujung minggu yang santai namun spontan.
Ruang Waterfront Baharu Hong Kong
Rangkaian persiaran tepi laut Hong Kong yang terkenal kini melalui transformasi besar untuk mewujudkan ruang terbuka lebih mesra pejalan kaki, menggalakkan pengunjung bergerak sambil menikmati pemandangan laut yang memukau.
Laluan baharu ini antara yang paling fotogenik, sesuai untuk mereka yang ingin mengimbangi aktiviti santai dengan sedikit sentuhan pergerakan ringan.
Di pulau Hong Kong, East Coast Boardwalk di North Point menawarkan pengalaman persiaran moden dengan zon permainan bertema ombak, stesen kecergasan luar, platform memancing dan kawasan tempat duduk yang menghadap matahari terbenam, sebahagiannya dilindungi di bawah susur jalan.
Sementara seberang Victoria Harbour, Kai Tak GreenWay menghidupkan semula laluan bekas landasan Lapangan Terbang Hong Kong yang kini menjadi koridor hijau lengkap dengan laluan berkongsi untuk pejalan kaki dan penunggang basikal.
Jejak yang menghubungkan Kai Tak Promenade dan Shing Fung Road Park ini membuka ruang segar untuk komuniti dan pengunjung berkumpul, berehat dan menikmati panorama bandar.
Sama ada berbasikal di tepi Victoria Harbour, mengayuh paddleboard di Sai Kung, atau sekadar menikmati langit jingga di persisiran air, Hong Kong menyajikan keseimbangan sempurna antara pergerakan dan ketenangan, hanya beberapa jam dari Malaysia.
Dengan cuaca yang menyenangkan, tarikan luar yang meriah dan pelbagai cara baharu untuk diterokai, Hong Kong bersedia menyambut pengunjung yang mencari percutian sihat, segar dan memulihkan tenaga.
- 7KLIKARTIKEL LAIN:
0 Comments