Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Kenshi Yonezu & Hikaru Utada Bersatu Dalam ‘Jane Doe’ Untuk Chainsaw Man The Movie


SUPERSTAR J-pop yang sentiasa mendominasi carta, Kenshi Yonezu, akhirnya bergabung dengan ikon global Hikaru Utada menerusi lagu terbaharu berjudul Jane Doe, yang dipilih sebagai lagu penutup untuk filem yang sangat dinantikan, Chainsaw Man – The Movie: Reze Arc.

Dilancarkan secara rasmi di semua platform, Jane Doe menandakan kolaborasi pertama antara dua artis Jepun paling berpengaruh ini. Lagu ini ditulis dan digubah sendiri oleh Yonezu, dengan Utada menyumbangkan vokal penuh emosi yang menambahkan dimensi baharu pada karya ini.

Bukan itu sahaja, video muzik rasmi yang diarahkan oleh Tomokazu Yamada turut dilancarkan serentak, menampilkan kedua-dua artis dalam visual sinematik yang sarat dengan simbolisme.

Kejayaan ini hadir selepas beberapa minggu penuh gemilang buat Yonezu. Baru-baru ini, penyanyi itu merilis Iris Out, lagu tema rasmi untuk Chainsaw Man – The Movie: Reze Arc, yang berjaya debut di tempat kedua dalam carta global Spotify Top Songs Debut.

Malah, sejarah juga tercipta apabila Kick Back, lagu tema untuk siri anime Chainsaw Man, menjadi lagu bahasa Jepun pertama yang menerima pensijilan Platinum RIAA.

Kisah Di Sebalik ‘Jane Doe’ & Visual yang Sarat Simbolik

Video muzik Jane Doe menampilkan Yonezu dan Utada berpakaian serba hitam, duduk di bangku berasingan di sebuah platform stesen kereta api. Ia melukiskan metafora pertembungan takdir—penumpang yang berselisih arah hanya sempat bertemu sebentar ketika naik atau turun tren.

Yamada menggambarkan dua jiwa di bangku yang sama seolah-olah menarik satu sama lain dengan 'gravitasi halus', walaupun lingkaran takdir mereka tetap besar dan berasingan. Pengarah yang terkenal dengan arahan video muzik ikonik Yonezu seperti Lemon, Uma to Shika dan Sayonara Mata Itsuka!, menggambarkan kolaborasi ini sebagai 'perlanggaran galaksi'.

Menurutnya, visual dalam Jane Doe bukan sekadar momen di stesen tren, tetapi sebuah alegori tentang jarak dan tarikan antara manusia, kita semua bergerak dalam orbit sendiri, namun tetap terhubung oleh sesuatu yang sukar dijelaskan.

“Kita berpusing tanpa henti dalam kegelapan alam semesta, memberi tarikan graviti antara satu sama lain. Walaupun cukup dekat untuk disentuh, kita tetap bintang yang jauh. Masing-masing dengan pusingannya sendiri, masing-masing merenung malamnya sendiri,” ujarnya.

Bagi Yonezu, pengalaman itu benar-benar emosional kerana ia bukan sekadar menulis sebuah lagu, tetapi juga perjalanan menemukan suara yang tepat untuk menghidupkannya.

Dalam proses itu, dia merasakan ada sesuatu yang lebih besar daripada sekadar kolaborasi seolah-olah takdir yang mempertemukan karya dan penyanyi yang sesuai.

“Saya mulakan lagu ini tanpa terfikir siapa yang akan menyanyikannya. Tapi bila melodi terbentuk, hanya satu nama yang terlintas, Utada-san. Saat vokal Utada masuk, sayu tetapi sekali gus menyapu seperti tiupan angin, saya terkesima. Sebagai penulis lagu, saya rasa benar-benar terhormat,” katanya.

Utada pula mengakui cabaran dalam menyatukan gaya mereka yang berbeza.

“Saya tahu saya perlu mencuba apabila menerima tawaran ini. Kedua-dua kami adalah singer-songwriter yang tegas dengan cara masing-masing, jadi ia satu cabaran untuk bertemu di tengah.

"Bagaimanapun saya harap semua dapat rasakan sisi baru yang lahir daripada kerjasama ini, sambil kami kekal setia dengan diri sendiri,” jelasnya.


Chainsaw Man The Movie: Reze Arc – Filem Yang Menggegarkan Dunia

Chainsaw Man – The Movie: Reze Arc sudah pun membuka tirai di Jepun pada 19 September 2025, terus melonjak ke puncak carta box office hujung minggu dan malah mengatasi rekod pecah panggung Demon Slayer: Infinity Castle.

Filem ini bakal mula ditayangkan di Amerika Syarikat pada 24 Oktober 2025, selepas Sony Pictures Entertainment memperoleh hak pengedaran global. Lebih daripada 50 negara dan wilayah akan menyusul.

Kisah dalam filem ini meneruskan naratif selepas episod akhir anime Chainsaw Man, menampilkan watak utama Denji yang bertemu dengan gadis misteri bernama Reze.

Pertemuan itu membuka lembaran takdir baru, penuh aksi mendebarkan hasil garapan studio animasi MAPPA yang terkenal dengan karya seperti Jujutsu Kaisen dan Attack on Titan: The Final Season.

Fenomena Chainsaw Man sememangnya luar biasa. Manga karya Tatsuki Fujimoto ini sudah terjual lebih 30 juta naskhah, dan siri animenya telah disiarkan di lebih 200 negara, memikat peminat di seluruh dunia.

Dengan gabungan kuasa muzik Yonezu dan Utada untuk Jane Doe, serta momentum box office yang mengagumkan, Reze Arc jelas bersedia untuk mengukir sejarah baru dalam dunia anime dan muzik global. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments