Selepas 3 Tahun, BLACKPINK Kembali Dengan EP ‘Deadline’

Lisa, Jisoo, Jennie dan Rosé 

Oleh: AILEEN ADAM
SELEPAS lebih tiga tahun tanpa album baharu, BLACKPINK kembali menggegarkan dunia muzik global dengan pelancaran EP berjudul Deadline, pada Jumaat.


Ia sekali gus menjadi momentum penting bagi peminat yang telah lama menantikan karya bersama kumpulan ini sejak album penuh Born Pink pada 2022.

Deadline bukan sekadar sebuah 'comeback', tetapi satu era baharu dalam evolusi sonik mereka yang menggabungkan EDM, hip‑hop dan pop dengan keyakinan dan gaya tersendiri.

Projek mini album ini menampilkan lima lagu yang mempamerkan setiap sisi kreativiti BLACKPINK, menggabungkan rentak energik dan naratif emosi untuk menegaskan identiti muzik mereka kini.

Paling menonjol dalam projek ini ialah GO, lagu utama yang menggabungkan elemen EDM berkuasa tinggi dengan hook yang pantas melekat di ingatan.  Lagu ini turut menyaksikan penglibatan kesemua anggota BLACKPINK iaitu Jennie, Jisoo, Rosé dan Lisa sebagai penulis lirik bersama bersama Chris Martin dari band Coldplay.

GO yang merupakan lagu utama EP ini tampil lengkap dengan muzik video (MV) yang dirilis di platform YouTube rasmi mereka hari ini. MV yang berkonsep futuristik dan sarat elemen sint‑pop agresif dengan koreografi memukau itu mendapat sambutan luar biasa daripada peminat seluruh dunia sebaik dilancarkan.



Selain itu, Deadline  turut memuatkan Jump, sebuah single pra‑rilis yang telah mencapai kejayaan global dengan menduduki tangga teratas Billboard Global 200, satu pencapaian yang menegaskan kekuatan BLACKPINK di arena muzik antarabangsa.

Sementara Me and My dan Champion pula membentangkan sisi berbeza kumpulan sensasi ini menerusi satu melodi retro hip‑hop yang cukup menyerlah, manakala satu lagi menjadi antem yang mengangkat semangat kebersamaan. Menutup EP ini ialah Fxxxboy, trek yang memancarkan kedalaman emosi melalui lirik dan vokal yang matang.

Momentum Global & Rekod Digital

Reaksi global terhadap Deadline menunjukkan pengaruh besar BLACKPINK dalam ruang digital. Malah menjelang pelancaran penuh, saluran YouTube rasmi mereka mencatat pertumbuhan puluhan ribu pelanggan baharu setiap hari, menjadikan mereka artis pertama yang mencapai lebih 100 juta pelanggan di platform tersebut, satu pencapaian konsisten dengan dominasi global mereka.


Terdahulu BLACKPINK baru sahaja menamatkan konsert jelajah dunia Deadline World Tour, yang bermula pada Julai 2025 sehingga Januari 2026, menjelajah lebih 30 stadium di seluruh Asia, Eropah dan Amerika Utara.

Dengan pelancaran EP baharu ini, para peminat (BLINK) mereka di seluruh dunia kini menantikan lebih banyak aktiviti, persembahan pentas dan kolaborasi yang akan menghidupkan lagi momentum BLACKPINK sepanjang tahun 2026. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments