Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Pocky Raikan Hari Kebangsaan Dengan Sentuhan Rasa Durian & Ondeh-Ondeh


MALAYSIA bukan sahaja kaya dengan budaya dan tradisi, tetapi juga terkenal dengan kepelbagaian cita rasa yang menjadi kebanggaan rakyatnya.

Sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-68, Glico Malaysia meraikan keunikan ini dengan melancarkan dua perisa edisi terhad yang diinspirasikan daripada kegemaran tempatan iaitu Pocky Durian dan Pocky Ondeh-Ondeh.

Bertemakan ‘Berkongsi Keriangan Cita Rasa Warisan’, kempen ini menggabungkan elemen warisan, kreativiti dan gaya moden untuk mencipta pengalaman yang lebih daripada sekadar kudapan.

Setiap batang biskut rangup membawakan rasa yang mesra di lidah rakyat Malaysia. Pocky Durian menghadirkan aroma dan rasa mewah 'Raja Buah' dengan salutan coklat durian berkrim daripada isi sebenar.

Sementara itu, Pocky Ondeh-Ondeh mengekalkan keaslian tradisional dengan salutan coklat pandan bertabur kelapa parut kering, digandingkan bersama batang biskut berperisa gula melaka seolah-olah membawa anda pulang ke memori manis zaman dahulu.

Bungkusan kedua-dua perisa istimewa ini turut menjadi tarikan. Direka dengan motif Peranakan berwarna ceria, ia bukan sahaja memberi sentuhan seni pada mata, malah melambangkan penghargaan kepada kepelbagaian budaya Malaysia.

Dari Rasa ke Seni Jalanan

Semangat meraikan warisan ini turut dihidupkan melalui mural khas ‘Kongsi Keriangan Cita Rasa Warisan’ karya pelukis jalanan tempatan terkenal, Abdulrashade.

Terletak di Jalan Doraisamy, berhampiran Heritage Row di Chow Kit, karya ini menggabungkan motif tradisional Peranakan dengan elemen moden seperti fotografi dan papan selaju. Gabungan ini menjadi simbolik hubungan antara tradisi dan gaya hidup anak muda Malaysia masa kini.

Abdulrashade sendiri berkongsi bahawa mural ini dekat di hatinya, memandangkan beliau membesar dalam budaya Peranakan di Pulau Pinang dan keluarganya memiliki dusun durian.

“Mural ini menampilkan aspek perpaduan, belia dan warisan. Saya harap ia menginspirasikan lebih ramai orang untuk melihat bagaimana seni jalanan boleh menceritakan kisah negara ini dengan cara baharu,” katanya.

Bagi Pengarah Urusan Glico Malaysia & Kluster Antarabangsa, Lee Yeen Theng, kempen ini adalah tentang menghubungkan rasa dan budaya dalam satu pengalaman.

“Dengan Pocky Durian dan Pocky Ondeh-Ondeh, kami ingin berkongsi kegembiraan melalui perisa tradisional yang dekat di hati rakyat Malaysia.

"Mural ini pula mengetengahkan bakat artis tempatan dan kecintaan terhadap makanan warisan, sambil meraikan perpaduan dan kepelbagaian Malaysia,” ujarnya.


Tidak kira sama ada anda sedang mencari kudapan yang unik atau sekadar ingin menyelami seni tempatan, sambutan Hari Kebangsaan tahun ini memberi alasan untuk anda keluar dan meraikan.

Singgah ke mural berwarna-warni Abdulrashade untuk mengabadikan momen, dan nikmati rasa istimewa Pocky edisi terhad yang boleh didapati di pasar raya, kedai serbaneka, serta secara dalam talian.

Dua perisa ini bukan sekadar biskut bersalut coklat tetapi ia adalah cerita tentang rasa, budaya, dan semangat Malaysia yang dikongsi bersama. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments