Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Rasa, Gaya & Cerita Malaysia - Cara Kita Raikan Hari Kebangsaan


KEINDAHAN Malaysia lahir daripada gabungan warna-warni, budaya dan makanan, dan tiada yang lebih kuat menyatukan kita selain rasa bangga yang tersemat kukuh di hati terhadap negara tercinta yang bakal menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-68 tidak lama lagi.

Sambil kita melangkah bersama membina masa hadapan, inilah masa untuk menghargai perjalanan masa lalu, menghidupkan kembali detik indah zaman kanak-kanak, dan meraikan tradisi yang menjadi asas kepada identiti kita sebagai rakyat Malaysia.

Berikut adalah beberapa cara untuk menyemarakkan semangat kebangsaan anda sempena Hari Kemerdekaan ini

Menghidupkan Kembali Permainan Tradisional

Bayangkan keriangan zaman kecil, bermain tanpa gajet, berlari di halaman, dan ketawa bersama rakan-rakan. Kenangan itu, walaupun ringkas, sarat dengan makna.

Ajaklah kawan-kawan atau anak-anak untuk kembali ke lorong kenangan itu. Keluarkan guli, papan congkak, atau batu seremban. Uji kepantasan tangan dalam permainan baling selipar atau kesabaran ketika mengira lubang congkak. Semua ini bukan sekadar hiburan, tetapi penghubung jiwa dengan warisan kita.

Menikmati Rasa Kegemaran 

Hubungan rakyat Malaysia dengan makanan? Erat, ibarat irama dan lagu. Daripada bebola nasi ayam dan ais kacang, ke laksa asam dan mi kari, kita sanggup beratur panjang demi satu suapan nikmat.

Warung, kopitiam, gerai mamak dan medan selera kita menjadi pentas rasa yang tiada tandingan. Untuk kudapan pula, pilihan kreatif seperti Pocky Durian dan Pocky Ondeh-Ondeh menggabungkan sentuhan warisan dengan gaya moden yang rangup, manis, dan penuh rasa Malaysia.

Raikan Perbezaan Budaya

Sama seperti makanan, pakaian tradisional juga sebahagian daripada jiwa kita. Masih ingat hari kebudayaan di sekolah? Senyuman kita terserlah saat memperagakan baju kurung, baju Melayu, cheongsam, sut Punjabi atau kebaya Peranakan.

Kini, pakaian indah ini jarang digayakan kecuali di majlis perkahwinan atau sambutan perayaan. Jadi, mengapa tidak meraikan Hari Kebangsaan tahun ini dengan melaram pakaian tradisional? Ia bukan sahaja simbol gaya, malah pernyataan cinta kepada kepelbagaian budaya negara.

Hayati Seni Tempatan

Seni tempatan pula menjadi saksi bagaimana tradisi dan kemodenan berpadu. Salah satunya, mural 'Berkongsi Rasa Warisan' hasil karya pelukis jalanan terkenal Abdulrashade di Jalan Doraisamy, berhampiran Heritage Row.

Motif Peranakan dipadukan dengan tenaga muda, menjadikan mural ini bukan sekadar lukisan, tetapi lambang harmoni dalam kepelbagaian. Sempurnakan kunjungan anda dengan bergambar di hadapan karya ini, lalu abadikan momen itu bersama keluarga atau rakan-rakan.

Kongsikan Kegembiraan Menjadi Rakyat Malaysia

Semangat kebangsaan bukan hanya untuk dikongsi di media sosial. Hidupkan ia dalam realiti dengan menjemput jiran menikmati juadah ringan sambil berbual santai, atau kunjungi sahabat lama sekadar untuk bertegur sapa.

Dalam kesederhanaan dan kemesraan seperti inilah terletaknya kekuatan Malaysia, sebuah bangsa yang hebat di sebalik segala perbezaan, berdiri sebagai satu.

Hari Kebangsaan bukan sekadar tarikh dalam kalendar, tetapi peluang untuk kita menghargai perjalanan yang telah dilalui bersama. Sama ada melalui rasa, gaya atau cerita, setiap momen yang kita cipta adalah hadiah buat Malaysia tercinta. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments