Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Hanya di RTM: Sajian Istimewa Merdeka Penuh Warna


SAMBUTAN Hari Kebangsaan ke-68 dan Hari Malaysia 2025 kali ini lebih meriah daripada biasa apabila Radio Televisyen Malaysia (RTM) tampil dengan hidangan program hebat sepanjang bulan Ogos hingga September.

Daripada filem pecah panggung dan telefilem menyentuh hati, hinggalah ke konsert, dokumentari, sitkom, dan rancangan realiti penuh aksi,semuanya disusun rapi untuk seisi keluarga.

Bukan sekadar hiburan, susunan program tahun ini juga menjadi medium untuk menyemarakkan semangat patriotik, selari dengan tema 'Malaysia Madani: Rakyat Disantuni'.

RTM mahu penonton, terutamanya generasi muda, merasai kemeriahan bulan kebangsaan dengan cara yang lebih segar, penuh cerita dan rasa bangga pada tanah air.

Telemovie, Filem & Konsert – Suasana Merdeka di Skala Besar

Di saluran utama TV1, penonton akan dihidangkan dengan enam telefilem eksklusif yang mengangkat tema perjuangan, kekuatan, dan kasih sayang rakyat Malaysia.

Antaranya termasuk Genggam (16 Ogos, 9 malam) yang menampilkan Edika Yusof dan Lia Natalia dalam kisah bekas anggota Unit Khas Polis yang terpaksa merahsiakan kerjayanya, hingga menimbulkan salah faham keluarga.

Anak Laut China (23 Ogos, 1.30 tengah hari) dan Kau Tetap Mei Hua (24 Ogos, 10 malam) membawa kisah penuh emosi, diikuti aksi epik Legenda Keris Hitam Bersepuh Emas (30 Ogos, 1.30 tengah hari) dan Ungku (30 Ogos, 9 malam).

Malam kemuncak 31 Ogos pula akan dimeriahkan dengan Bukan Lelaki Biasa (10 malam) yang dibarisi pelakon popular seperti Idris Khan dan Nad Zainal.

Tidak cukup dengan itu, Konsert ORTM Pita Merdeka (31 Ogos, 10 malam) akan menggabungkan suara emas Nadeera, Amir Masdi, Liza Hanim, Aina Abdul, dan Lah Ahmad diiringi Orkestra RTM, menjanjikan persembahan yang membangkitkan rasa cinta pada negara.

TV2 pula menambah warna dengan filem antarabangsa seperti Park (17 Ogos), Border (24 Ogos), dan Main Atal Hoon (31 Ogos), diselang-selikan sitkom Apartmen Putra: Misi Cinta Merdeka (25 Ogos) dan telefilem Pagari Bulan (26 Ogos).

Sementara itu, Konsert Unplugged Jiwa Merdeka (31 Ogos, 1 tengah hari) bakal mempertemukan legenda dan bintang masa kini seperti Datuk Francisca Peter, Hazama, Suki Low, dan Bella Astillah.

Di saluran Okey, program realiti Beret akan menguji ketahanan fizikal 20 peserta wanita termasuk selebriti, manakala Tiga Abdul La pula menghidangkan aksi survival lucu tiga pelawak popular bersama tetamu jemputan setiap minggu.

RTM turut menyiarkan dokumentari, travelog, drama bersiri dan empat telefilem khas seperti Rentap, Kapten Papa, Wanita di Hujung Kuala dan Tuai Raban Bansa.

Bagi penggemar berita, siaran langsung Perbarisan & Perarakan Hari Kebangsaan (31 Ogos, 7.30 pagi) akan menjadi sorotan utama.  Dokumentari 16 September: Hari Malaysia pula akan bersiaran pada 15 dan 16 September, mengimbas momen bersejarah penyatuan negara.

TV6, saluran retro digital RTM, mengajak penonton bernostalgia dengan tayangan telefilem klasik seperti Maruah (30 Ogos) dan Pak Din Merdeka (31 Ogos), di samping persembahan khas seperti Zoom In Khas Merdeka dan Merdekarama 1992.

Program Radio

Bukan hanya di kaca TV, semangat merdeka RTM juga dibawa ke udara melalui 34 stesen radio seluruh negara.

Tahun ini, Jelajah Aspirasi Malaysia bakal menjelajah dari Gua Kelam, Perlis (16 Ogos) hingga ke Angkasapuri Kota Media (31 Ogos), sambil mencatat sejarah dengan Most Plastic Bottles Collected in A Tour untuk Malaysia Book of Records.

Jadi, sama ada anda peminat filem, penggemar muzik, pengikut setia drama tempatan, atau pencinta dokumentari sejarah, RTM sudah pun sediakan pentasnya. Sepanjang bulan kebangsaan ini, sambutlah kemerdekaan dengan sajian penuh warna dan cerita, hanya di RTM. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments