Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Jualan Tiket Konsert Legasi P. Ramlee Kini Rasmi Dibuka


AURA Seniman Agung Tan Sri P. Ramlee kembali menghidupkan pentas apabila jualan tiket bagi Konsert Legasi P. Ramlee yang akan berlangsung pada 20 September 2025 di Mega Star Arena Kuala Lumpur, Sungei Wang Plaza, kini dibuka secara rasmi.

Menariknya, susun atur tempat duduk konsert ini diinspirasikan daripada watak-watak ikonik filem Allahyarham P. Ramlee.

Konsep ini bukan sekadar memberi sentuhan unik, malah membawakan elemen nostalgia kepada para penonton sejak dari proses awal pembelian tiket.

Tiket untuk kategori VIP dinamakan Nyonya Mansoor dijual dengan harga RM1,488; Kassim Selamat (RM1,088), Abang Jamil (RM888), Sarjan Hassan (RM688), Abdul Wahub (RM488) dan Pak Maon (RM288).

Pengarah Eksekutif TanahAir Films, Datuk Khairul Anwar Salleh,  berkata, pihaknya amat terharu dengan semangat dan minat yang ditunjukkan orang ramai terhadap konsert berkenaan.

"Ini membuktikan bahawa karya agung Tan Sri P. Ramlee masih hidup dalam jiwa rakyat Malaysia. Jangan lepaskan peluang untuk menjadi sebahagian daripada detik bersejarah yang mengangkat seni tanah air ke pentas yang lebih tinggi,” ujarnya.

Konsert ini menampilkan kekuatan 60 pemuzik orkestra di bawah arahan empat nama besar industri muzik tanah air, iaitu Datuk Ramli MS, Datuk Mokhzani Ismail, Helen Yap dan Michael Veerapen.

Barisan artis yang bakal membuat persembahan pula merupakan gabungan generasi lama dan baharu, antaranya Datuk Jamal Abdillah, Datuk Zainalabidin, Ella, Liza Hanim, Mimi Fly dan Nadeera.

Pengembaraan Sinematik

Sementara itu, Pengarah Artistik merangkap Penerbit Eksekutif, Adlin Aman Ramlie, menjelaskan bahawa setiap kategori tiket dinamakan berdasarkan watak tersohor filem P. Ramlee bukan semata-mata untuk mencipta kenangan, tetapi sebagai kesinambungan naratif pementasan.

"Setiap zon tempat duduk akan terasa seolah-olah anda berada dalam babak berbeza kehidupan P. Ramlee, daripada detik emosional Kassim Selamat hinggalah semangat patriotik Sarjan Hassan.

"Ini bukan sekadar konsert, ia adalah pengembaraan sinematik dengan pengalaman yang penuh jiwa,” jelasnya.

Konsert Legasi P. Ramlee adalah sebahagian daripada Projek Perdana P. Ramlee, kerjasama antara TanahAir Films dan 360 Entertainment dan disokong oleh agensi-agensi kerajaan termasuk Arkib Negara Malaysia, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Kementerian Komunikasi Malaysia, Kementerian Perpaduan Negara, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) serta Istana Budaya.

Jualan tiket telah dibuka secara rasmi bermula 26 Jun 2025 menerusi laman web www.ticket2u.com.my/legasipramlee . Sebagai penghargaan kepada peminat, diskaun sebanyak 10 peratus ditawarkan kepada 1,000 pembeli terawal sepanjang tempoh promosi dari 26 Jun hingga 6 Julai 2025. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments