Emma Watson
PELAKON Emma Watson, telah dikenakan larangan memandu selama enam bulan oleh Mahkamah Majistret High Wycombe, United Kingdom.
Keputusan itu dibuat selepas bintang yang terkenal dengan watak Hermione Granger dalam francais filem Harry Potter itu didapati bersalah memandu melebihi had laju yang ditetapkan.
Watson, 35, yang kini sedang melanjutkan pengajian di Universiti Oxford, dilaporkan memandu kereta Audi biru pada kelajuan 61 kilometer sejam di kawasan had laju 48 km/j di Oxford, pada petang 31 Julai tahun lalu.
Selain daripada larangan memandu, pelakon itu turut diarahkan membayar denda berjumlah GBP1,044 (sekitar RM6,370) selepas kesnya dibicarakan pada Rabu.
Peguamnya, Mark Haslam, memaklumkan kepada mahkamah bahawa bintang terkenal itu kini bergelar pelajar dan mampu membayar denda tersebut.
Secara kebetulan, seorang lagi pelakon Harry Potter, Zoe Wanamaker yang melakonkan watak jurulatih Quidditch, Madam Hooch dalam filem pertama Harry Potter and the Philosopher’s Stone turut dikenakan hukuman serupa oleh mahkamah yang sama dalam kes berasingan.
Wanamaker, 76, memandu kereta Volvo berwarna biru pada kelajuan 74 kilometer sejam di kawasan had laju 64 km/j di lebuh raya M4, Newbury, Berkshire pada 7 Ogos 2024. Dia juga dijatuhkan hukuman larangan memandu selama enam bulan serta denda sebanyak GBP1,044.
Menurut peguamnya, Duncan Jones, anak guamnya tidak memohon sebarang layanan istimewa dan menerima hukuman tersebut dengan terbuka.
Kedua-dua pelakon tidak hadir ke sesi pendengaran mahkamah yang berlangsung ringkas itu. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments