SELEPAS lebih dua tahun menghilang dari radar industri, penyanyi R&B tersohor dan calon tujuh kali Anugerah Grammy, Giveon, akhirnya muncul semula dengan album studio keduanya berjudul Beloved.
Diterbitkan secara rasmi di bawah label Epic Records, album ini menjadi simbol kemunculan semula Giveon, 30, yang lebih matang, baik dari segi vokal, penulisan, mahupun naratif muzik.
Album ini memuatkan 14 trek, termasuk lagu utama, Twenties dan Rather Be, dengan menampilkan beberapa penerbit ternama seperti Sevn Thomas (penerbit eksekutif), Jahaan Sweet, dan Maneesh.
Menjelang pelancaran, Beloved menerima sambutan hangat daripada pengkritik, termasuk penarafan empat bintang oleh Rolling Stone yang menyifatkan album ini sebagai 'rich and authentic'.
Kritikan tersebut turut memuji sentuhan klasik dalam produksi Giveon yang mengimbau gaya Al Green, Philly Soul, Jackson 5, serta runut bunyi era Blaxploitation.
“Beloved adalah cerminan penuh kepada segala proses perubahan besar yang saya lalui sepanjang tiga tahun ini.
“Segala jatuh bangun, yang baik dan buruk, semuanya membentuk projek ini. Saya harap anda dapat menikmati mendengarnya seperti mana saya menikmati proses menciptanya,” ujar Giveon.
Cinta Tak Kekal, Emosi Tak Terpadam
Lagu Twenties, yang menjadi single pembuka, membawa tema kekecewaan apabila melaburkan waktu muda untuk cinta yang akhirnya tidak berkekalan.
Lagu ini telah membawa Giveon kembali ke carta Billboard Hot 100, menjadikannya kemunculan keempat dalam senarai tersebut. Ia juga menerima ulasan positif daripada The New York Times dan Uproxx, serta dipersembahkan secara langsung dalam acara rasmi pra-Met Gala anjuran Prada.
“Lagu ini menggambarkan sepenuhnya pengalaman melaburkan tahun-tahun paling berharga dalam cinta, tetapi sayangnya cinta yang ada tarikh luput,” jelasnya tentang lagu tersebut.
Trek Rather Be pula menampilkan susunan bassline yang mendalam dan 'mood' emosi yang kuat. Lagu ini dinobatkan sebagai salah satu Best Songs of 2025 oleh Esquire, dan juga disenaraikan dalam kategori Song You Need to Know oleh Rolling Stone.
Album ini turut memuatkan lagu-lagu seperti Mud, Strangers, Numb, I Can Tell, Diamond For Your Pain, Keeper, Six Thirthy, Bleeding, Don't Leave, Avalanche, Backup Plan dan Good Bad Ugly.
Kesemuanya dirangka dengan elemen produksi yang teliti, dari rentak dram hingga susunan string yang membalut setiap patah bait giveon dengan rasa dan ruang.
Selain itu, Giveon turut mencuri perhatian dalam kolaborasi bersama Teddy Swims menerusi lagu Are U Even Real?. Lagu ini bukan sahaja mendapat pencalonan Best Collaboration di BET Awards, malah terus mendaki carta Hot 100. Meski sekadar tampil sebagai artis jemputan, aura Giveon tetap memberi kesan besar pada keseluruhan lagu.
Selepas kejayaan album pertamanya Give Or Take pada tahun 2022, Beloved hadir sebagai refleksi lebih mendalam tentang cinta, kehilangan, dan perjalanan mengenali diri. Ia bukan sekadar satu koleksi lagu, tetapi sebuah diari emosi yang ditulis dengan jujur dan disampaikan melalui suara bariton yang menjadi 'trademark' Giveon.
Kini, Beloved sudah pun tersedia di semua platform penstriman utama, dan buat mereka yang pernah terluka, atau sedang mencari makna dalam kehilangan, inilah album yang perlu anda dengari. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments