Allahyarham Sophia dilaporkan sesak nafas sebelum dikejarkan ke hospital |
DUNIA seni tanah air kehilangan satu lagi permata apabila Sophia Ibrahim, seniwati dan pelakon veteran terkenal meninggal dunia di Hospital Ampang Puteri sekitar jam 7.15 malam Isnin.
Allahyarham Sophia atau nama sebenar Safiah Ibrahim menghembuskan nafas terakhir pada usia 77 tahun akibat sesak nafas.
Berita itu disahkan oleh Presiden Karyawan, Datuk Freddie Fernandez yang memaklumkan Sophia mengalami kesukaran bernafas ketika menghadiri sebuah program di sebuah hotel di Ampang, sebelum dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Difahamkan jenazah dijangka dibawa ke rumah anak saudaranya di Batu Caves dan akan disembahyangkan di Surau Al-Hijrah, Taman Bolton, Batu Caves, sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah, Kuala Lumpur pada Selasa.
Allahyarham yang juga merupakan kakak kepada penyanyi veteran Datuk Khadijah Ibrahim, memulakan kerjaya seninya pada tahun 1960-an.
Sepanjang kariernya yang cemerlang, Sophia telah membintangi pelbagai filem dan drama, dan dikenali sebagai seorang pelakon yang serba boleh.
Antara filem terkenal yang dibintangi oleh Allahyarham termasuklah Dr Rushdi dan Ragam P. Ramlee, yang diarah dan dilakonkan oleh Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee. Selain itu, dia juga turut membintangi filem-filem seperti Dajal Suchi, Imam, Puteri Impian, dan banyak lagi.
Walaupun pemergian Allahyarham adalah satu kehilangan besar, tetapi legasi dan sumbangannya kepada industri seni tanah air akan terus dikenang.
Lakonannya yang memukau dan kemahiran dalam membawa pelbagai watak, menjadikannya sebagai salah satu figura yang dihormati dalam dunia perfileman Malaysia. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments