Hot Posts

6/recent/ticker-posts

"Kami sudah buat yang terbaik" - Ashmirul, Qarl G tersingkir di minggu kedua Big Stage Alpha

Ashmirul (kiri) dan Qarl G akur tersingkir daripada pentas Big Stage Alpha | FOTO: Astro/AzrulRafie 

Oleh: ZULQARNAIN ABU HASSAN

DUA peserta Big Stage Alpha, Ashmirul dan Qarl G, menamatkan saingan apabila diumumkan tersingkir pada konsert minggu kedua yang berlangsung di Royal Theatre, Shah Alam pada malam Ahad.

Walaupun memperoleh markah juri lebih tinggi berbanding Afiq Sky, Ashmirul dengan 59.75 peratus (%) dan Qarl G (58.75%) tetap tersingkir selepas undian dalam talian penonton tidak memihak kepada mereka. Afiq Sky yang mencatat markah 57.05%, kekal dalam pertandingan hasil sokongan peminat.

Menerusi persembahan tersebut, Ashmirul membawakan lagu Bunga Hati nyanyian asal Salma Salsabil, manakala Qarl G menyanyikan lagu Seribu Tahun Lagi dendangan Imran Ajmain.

Mengulas penyingkiran itu, Ashmirul menerima keputusan dengan hati terbuka dan menganggap perjuangannya dalam pertandingan itu sudah tertulis setakat itu sahaja.

“Saya bersyukur dengan persembahan malam ini. Mungkin rezeki saya sampai di sini sahaja. Tapi saya sedih juga kerana terpaksa tinggalkan kumpulan saya (Prime), terutama rakan sebilik, Aeril Fesol.

“Aeril banyak memberi saya semangat, terutamanya ketika saya rasa kurang yakin. Malam sebelum persembahan pun dia masih sempat menyuntik semangat,” katanya yang turut berterima kasih kepada pihak Astro atas peluang yang diberikan.

Sementara itu, Qarl G meluahkan rasa terkejut apabila mengetahui Ashmirul turut tersingkir bersamanya.

“Bagi saya, Ashmirul sudah buat yang terbaik, dan begitu juga saya. Kepada penyokong setia dan ahli keluarga, terima kasih atas sokongan tidak berbelah bahagi,” ujarnya.

Ashmirul dan Qarl G akui sudah berikan yang terbaik | FOTO: Astro/AzrulRafie

Big Stage Alpha musim ini menampilkan konsep all-male spin-off, mempertemukan 18 peserta lelaki yang bersaing merebut tempat sebagai kumpulan vokal lelaki pertama di bawah naungan Astro.

Kesemua peserta diadili barisan juri profesional yang terdiri daripada Datuk Syafinaz Selamat, Edry Abdul Halim dan Hael Husaini.

Program yang dihoskan oleh Elly Mazlein dan Rina Nose itu disiarkan secara langsung menerusi Astro Ria (124) setiap Ahad, jam 9 malam. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments