MESKI aktif dalam dunia lakonan, penyanyi yang juga pencipta lagu, Chesia Ng tidak pernah berhenti berusaha merealisasikan mimpinya untuk dengan album solo penuh pertamanya.
Kini impian itu menjadi kenyataan apabila karya yang dinantikan itu selamat dilancarkan dengan judul Book One: Songs for You & I.
Album yang mengandungi lagu-lagu dalam tiga Bahasa iaitu Melayu, Inggeris dan Hokkien Penang itu hadir dalam format yang benar-benar unik iaitu pemacu USB terenkripsi yang dipakej dalam kotak cantik berkonsepkan buku.
Lebih menarik, album itu mencerminkan identiti dan warisan Chelsia, serta mengundang pendengar bersama-sama, melalui muzik, menerokai isu ketabahan, harapan dan hubungan antara manusia.
Tidak sekadar menampilkan koleksi lagu hiburan, tetapi setiap lagu mewakili bab dalam kehidupan Chelsia serta perjalanannya sebagai seorang artis dan pencerita (storyteller).
Dipengaruhi muzik folk, pop dan sentuhan country, Book One: Songs for You & I menerokai tema universal, termasuk cinta, kehilangan, dan keberanian untuk terus bertahan.
Malah lirik dalam pelbagai bahasa menambah dimensi unik untuk menjalinkan hubungan antara pencerita dan pendengar melalui bahasa sejagat muzik.
Album ini merupakan satu perayaan identiti saya sebagai rakyat Malaysia. Setiap bahasa yang saya gunakan iaitu Bahasa Melayu, Inggeris, dan Hokkien Penang membawa cerita, pengalaman, dan emosi yang berbeza.
"Saya berharap album ini dapat membawa ketenteraman dan kegembiraan kepada pendengar. Setiap bab, setiap lagu bukan sahaja menceritakan perjalanan kehidupan saya, tetapi, saya berharap turut menyentuh perjalanan pendengar juga," katanya.
Album ini diterbitkan oleh Irena Taib, daripada kumpulan indie The Impatient Sisters yang juga merupakan pengarah muzik, komposer, dan multi-instrumentalis.
"Irena memainkan peranan penting sebagai penerbit, pengatur lagu, dan pemuzik dalam membentuk bunyi album ini telah berjaya membawa visi saya menjadi kenyataan melalui kepakarannya dan kemampuannya bermain pelbagai alat muzik," tambah Chelsia.
Konsep unik
Penerbit bersama album ini ialah Raja Farouk, seorang pemuzik dan penerbit berkemampuan menggabungkan pelbagai genre muzik untuk menghasilkan karya-karya yang unik dan istimewa.
Sentuhan Irena & Farouk dalam pengaturan muzik menambah lapisan dinamik kepada keseluruhan bunyi album, menjadikannya pengalaman mendalam yang memperkayakan gaya penceritaan dan bunyi unik Chelsia.
Lagu-lagu yang dimuatkan dalam album ini ialah Balai Tui Bin Hokkian Mi (Hokkien Mee Opposite the Balai Polis), 6am Sushi, Jangan Sayang, Friends Again, Mean Girls, What I’d Do For Love, Light Up The Sky, Imagine Fireflies, Pe̍eh hun suann e KimHwa (Kim Hwa of Misty Hill), Darcy (Feat. Irena Taib), Anything’s Possible dan Bererti (bonus trek).
Book One: Songs for You & I direalisasikan dengan sokongan daripada Kementerian Komunikasi dan MyCreative Ventures dan dilancarkan pada 14 November lalu, sekali gus menandakan pelancaran single pertama album ini iaitu Jangan, Sayang, yang kini boleh didengar saluran di YouTube dan Spotify.
Album ini boleh didapati menerusi lama web: https://www.chelsiang.com dalam format yang sangat unik iaitu sebuah thumbdrive terenkripsi, diterbitkan oleh Publish King.
Edisi eksklusif tersebut hadir dalam kotak rekaan indah yang menampilkan buku kecil dengan nota peribadi daripada Chelsia, lirik penuh, dan karya seni asli, termasuk seni kulit album yang istimewa hasil tangan ibu Chelsia, Rose Oon.
Di dalam pemacu ini juga terdapat wallpaper eksklusif untuk telefon pintar, tablet, dan komputer, semuanya dengan karya seni oleh Chelsia.
Selain itu, anda akan mendapat pelekat digital dan dua belas karya seni eksklusif yang masing-masing melambangkan satu bab dalam Book One.
Untuk pengalaman penuh, terdapat video di sebalik tabir yang menangkap proses rakaman album ini, serta versi karaoke beberapa lagu khas untuk keseronokan anda menyanyi bersama.
Album penuh Book One dalam edisi digital akan sedia distrim mulai December 2024. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments