Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Aplikasi CEPat permudah urusan pembayaran cukai taksiran di Selangor


KEMPEN Kempen pembayaran cukai taksiran bagi tahun 2024 kini giat dijalankan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Selangor.

Kempen bagi penggal pertama pembayaran cukai taksiran (Januari sehingga Jun) telah bermula pada Disember 2023, dan tarikh akhir pembayaran adalah pada 29 Feburari ini. Kini pembayaran cukai taksiran dalam talian adalah pilihan utama masyarakat bagi memudahkan urusan mereka.

Di Selangor khususnya, umum mengetahui salah satu daripada turus utama pelan Smart Selangor adalah urus tadbir pintar (Smart Governance). Menerusi bawah turus ini, kerajaan negeri Selangor telah merangka beberapa inisiatif ke arah pendigitalisasian perkhidmatan dan juga servis yang dijalankan oleh kerajaan negeri dan juga agensi-agensi yang terlibat.

Perkhidmatan pembayaran cukai secara atas talian merupakan salah satu inisiatif urus tadbir pintar yang telah dibangunkan. Bermula tahun 2022, kerajaan negeri Selangor dan juga PBT secara berperingkat berhasrat untuk mengurangkan urusan-urusan fizikal di kaunter pembayaran, tambahan pula impak Covid-19 yang melanda dunia pada tahun 2020 telah memberi kesan buruk kepada pelbagai lapisan masyarakat.

Inisiatif itu telah disambut baik oleh semua PBT di Selangor, di mana pada tahun 2024, kebanyakan PBT telah mula menghentikan operasi kaunter pembayaran fizikal dan digantikan dengan perkhidmatan atas talian. Peningkatan penggunaan telefon pintar dalam kalangan masyarakat pada hari ini juga telah menyumbang kepada trend pembayaran atas talian.

SSDU Innovations Sdn. Bhd. (SSDU) telah membangunkan aplikasi Citizen-E Payment (CEPat) sebagai alternatif pembayaran atas talian kepada masyarakat di Selangor.

CEPat adalah suatu aplikasi pintar yang berfungsi sebagai gerbang pembayaran perkhidmatan kerajaan negeri bersepadu. Perkhidmatan yang boleh digunakan melalui aplikasi CEPat ini adalah pembayaran cukai taksiran, cukai tanah dan cukai petak, kompaun, Scan to Ride (Bas Smart Selangor), utiliti, pembaharuan lesen, sewaan fasiliti dan juga sumbangan (donation).

Melalui CEPat, masyarakat tidak perlu lagi hadir ke mana-mana kaunter PBT bagi menjelaskan pembayaran cukai taksiran mereka dan hanya perlu memuat turun aplikasi itu di App Store bagi pengguna peranti Apple atau di Google Play bagi pengguna peranti Android, daftar sebagai pengguna dan boleh mula membuat bayaran perkhidmatan yang ingin dilaksanakan.



Kini, SSDU dengan kerjasama Bahagian Pengurusan Maklumat (BPM) kerajaan negeri Selangor sedang mempromosikan Peraduan CEPat-CEPat Menang.

Peraduan yang berlangsung selama tiga bulan, bermula 29 November 2023 sehingga 29 Februari 2024 itu menyasarkan lima perkhidmatan PBT iaitu pembayaran cukai taksiran, parkir, kompaun, sewaan dan juga pembaharuan lesen.

Kempen tersebut bertujuan menggalakkan masyarakat di Selangor untuk mengamalkan budaya pembayaran pintar, sekali gus menjadikan Selangor sebagai sebuah negeri pintar berdayahuni menjelang tahun 2025.  - 7KLIK



[KREDIT: Smart Selangor]

Post a Comment

0 Comments