De Fam masih wujud, 'Mula' buka lembaran baharu 2024


KUMPULAN De Fam sering menjadi penanda aras bagi penyanyi berkumpulan wanita baharu kerana mereka berjaya bertahan dengan pembabitan hampir 10 tahun dalam dunia seni tanah air.

Mahu terus memberikan inspirasi, kumpulan yang dianggotai oleh Sophia Liana, Cik Manggis dan Azira Shafinaz itu kembali dengan single terbaharu mereka berjudul Mula.

Karya tersebut merupakan hasil ciptaan komposer Shazee Ishak, manakala lirik dihasilkan oleh Audi Mok, Sophia Liana dan Shazee Ishak.

Menariknya, Mula yang bergenre pop 90-an itu sesuai didengari oleh setiap lapisan masyarakat kerana melodi dan liriknya memupuk semangat positif, membawa suasana gembira dan mengajak pendengar untuk sentiasa bersedia dengan cabaran-cabaran mendatang.

Keunikan yang dimiliki lagu itu juga membuatkan ia dipilih sebagai runut bunyi bagi drama bersiri Tonton Original Series: SeOfis.

Drama tersebut telah mula bersiaran di platform penstriman Tonton sejak 18 Januari dan Mula juga telah berkumandang di iTunes atau melalui aplikasi penstriman atas talian seperti Spotify, Apple Music, YouTube Music, Tidal dan Deezer sejak 15 Januari lalu.

De Fam sebelum ini pernah meraih pelbagai kejayaan menerusi penghasilan single terdahulu seperti Supergirls, With You, Bila Kamu dan Panas.


Mengulas tentang single Mula yang juga merupakan comeback mereka setelah sekian lama menyepi tanpa karya baharu, De Fam mengharapkan agar lagu tersebut dapat memikat hati pendengar.

"Lagu Mula berbeza dan lebih mencabar berbanding dengan lagu-lagu kami sebelumnya. Kali ini, kami cuba menonjolkan kekuatan dalam lagu ini agar dapat memberi inspirasi kepada para peminat.

"Kami turut berharap para peminat dapat memulakan tahun 2024 ini dengan gembira dan semoga tahun baharu ini lebih baik dari tahun lepas yang bakal dipenuhi dengan positive vibes,” ujarnya.  - 7KLIK



[KREDIT: Alternate Records & Talents]

Post a Comment

Previous Post Next Post