Hot Posts

6/recent/ticker-posts

TUTAS tingkatkan Program Seni Persembahan dengan pengkhususan tarian, muzik


TAYLOR’s University dan The Actors Studio (TUTAS) membentuk kolaborasi dengan Young Choral Academy (YCA) dan ASK Dance Company (ADC) untuk memperkenalkan pengkhususan Tarian dan Muzik baharu sebagai sebahagian usaha bagi meningkatkan lagi program Ijazah Sarjana Muda Seni Persembahan (Kepujian).

Mengetuai pengkhususan Muzik adalah pengarah Young Choral Academy, Susanna Saw, manakala tarian pula oleh Profesor Dr. Joseph Gonzales yang merupakan pengasas dan pengarah artistik ASK Dance Company.

Saw seorang pendidik yang terkemuka di dalam arena seni muzik dan menyampaikan kuliah serta mengarah koir di universiti tempatan. Tidak hanya itu, dia juga terlibat dalam pelbagai acara muzik antarabangsa dan tempatan, termasuk persatuan koir dan jawatankuasa-jawatankuasa, selain berperanan sebagai juri dalam pelbagai festival koir antarabangsa dan merupakan penceramah aktif di acara-acara pendidikan muzik.

Sementara Joseph Gonzales pula adalah seorang pendidik yang dikenali ramai dalam bidangnya, selain memenangi banyak anugerah dalam arena persembahan kesenian tarian. Kerjaya cemerlangnya juga meliputi persembahan dan koreografi dalam pelbagai genre tarian dan teater muzikal yang diiktiraf di peringkat tempatan serta antarabangsa.

Kedua-dua pengkhususan baharu yang diperkenalkan itu akan menawarkan modul terbaik untuk memberi peluang kepada pelajar terlibat menerima bimbingan dan pengalaman bersesuaian dengan bidang dipilih.


Pengkhususan Tarian menawarkan modul dalam ballet, tarian kontemporari, tradisional Melayu, hip hop, jazz dan Silat. Pelajar dalam pengkhususan ini akan menerima pendidikan dan latihan mengenai fundamental tarian yang diajar oleh ikon-ikon terkemuka tarian, termasuk Dr. Gonzales.

Bagi pengkhususan Muzik pula, ia mengandungi modul pengajian vokal, teater muzikal, kajian babak, pergerakan dan seni pentas, lagu dan repertory serta latihan pendengaran. Pelajar yang memilih untuk mengasah kemahiran di dalam bidang ini akan menjalani latihan diketuai oleh Saw.

Naib Chanselor, dan Presiden Taylor’s University, Profesor Barry Winn, menyatakan keterujaannya dengan kerjasama yang terjalin.

“Kami berasa rendah diri dan teruja kerana mempunyai rakan kongsi yang dihormati seperti YCA dan ADC bekerjasama dengan TUTAS dalam mengembangkan skop program konservatori seni persembahan.

"Pengenalan bidang tambahan ini ditetapkan untuk meningkatkan program Ijazah Sarjana Muda Seni Persembahan kami yang kini akan mempunyai tawaran yang lebih komprehensif kepada pelajar yang ingin mengejar minat mereka dalam pelbagai aspek dalam dunia seni
.

"Memandangkan mereka kini berada dalam bimbingan pakar dan ikon terkenal dalam bidang terbabit, secara tidka langsung akan membantu mereka menemui suara artistik mereka. Kami menantikan lebih banyak karya seni hebat daripada pelajar kami yang berbakat,” katanya.

A successful launch for TUTAS Bachelor of Performing Arts conservatory degree programme’s new Dance and Music specialisations.


Dalam pada itu, Pengarah Pembangunan Program, dan Pengasas Bersama Actors Studio, Datuk Dr. Faridah Merican berkata, kerjasama tersebut merupakan salah satu daripada impian pihaknya selama ini.

“Ini adalah impian yang menjadi kenyataan bagi kami untuk mengalu-alukan rakan dan kolaborator lama kami, ADC dan YCA, ke dalam keluarga TUTAS.

"Saya pasti ia adalah berita menggembirakan untuk golongan muda yang ingin menceburi bidang seni persembahan kerana bukan sahaja mereka dapat belajar daripada pendidik terbaik dalam setiap bidang, malah mereka kini dapat menerokai pelbagai genre seni persembahan di TUTAS,” katanya.

Pengenalan pengkhususan Tarian dan Muzik itu juga menjadikan ia lebih menarik kerana pelajar-pelajar terlibat boleh mengakses bukan sahaja pusat persembahan kesenian yang lengkap yang berperanan sebagai kampus mereka tetapi juga kelebihan setiap rakan kongsi dari segi kepakaran, pengetahuan dan hubungan industri.

Kedua-dua pengkhususan tersebut akan mula ditawarkan kepada pelajar berminat mulai April tahun ini. Untuk pertanyaan dan maklumat tambahan mengenai program Ijazah Sarjana Muda Seni Persembahan (Kepujian) di bawah TUTAS, boleh lawat pautan https://bit.ly/BPASpecialisations - 7KLIK


Post a Comment

0 Comments