Jennie mahu bebas berkarya solo menerusi Odd Atelier, lagu Miss Korea tular gara-gara penampilan di Lee Hyori's Red Carpet


Oleh: AILEEN ADAM
SEJAK mengumumkan penubuhan agensi miliknya sendiri, Odd Atelier, bintang K-Pop sensasi, Jennie Blackpink terus mengorak langkah dengan mengatur pelbagai perancangan untuk karier solonya.

Biarpun memilih untuk bergerak sendiri menerusi agensi miliknya yang ditubuhkan pada November lalu, Jennie, 27, mengakui tidak mempunyai sebarang masalah dengan agensi lamanya, YG Entertainment yang sebelum ini bertanggungjawab memperkenalkan namanya dalam industri K-Pop.

Malah agensi tersebut masih menguruskan Jennie untuk karier berkumpulan menerusi Blackpink bersama rakan-rakannya, Jisoo, Rose dan Lisa apabila kontrak mereka diperbaharui baru-baru ini.


Jennie ketika menjadi tetamu dalam program The Seasons - Lee Hyori's Red Carpet yang dihoskan Lee Hyori di KBS 2TV baru-baru ini mendedahkan, langkah beraninya menubuhkan Odd Atelier bagi menguruskan karier solo sendiri adalah untuk lebih berkembang dan bebas berkarya mengikut kemahuannya.

“Odd Atelier adalah tentang kemahuan saya melakukan perkara dengan lebih baik dan berbeza daripada orang lain. Tolong sokong saya.

“Saya hanya menjalani karier solo di bawah agensi sendiri tapi semua aktiviti berkaitan Blackpink masih diuruskan YG Entertainment. Saya telah lama bersama mereka, inilah agensi tempat sejak saya menjadi trainee sehingga sekarang. Saya belajar banyak perkara di sini dan masih mempunyai hubungan yang baik,” tegasnya.

Dalam temubual sama, Jennie yang sinonim dengan gelaran IT Girl dan ikon fesyen itu turut berkongsi bakal tampil dengan album sulungnya pada tahun ini.

Difahamkan dia kini dalam proses mengumpul material dan berjanji kepada para peminatnya untuk tampil dengan karya-karya yang lebih mencerminkan dirinya dalam genre muzik yang diminati.


Dalam pada itu, penampilan pelantun lagu Solo dalam program tersebut turut mencuri perhatian ramai terutama peminat yang sudah lama menantikan kemunculan kembali Jennie dalam program TV.

Selain ditemubual, Jennie turut membuat persembahan menerusi lagu terbaharunya, You & Me dan Miss Korea, nyanyian asal daripada Lee Hyori yang juga merupakan idolanya sejak sekian lama.

Menariknya, aksi Jennie ketika menyampaikan lagu Miss Korea itu tular di media sosial apabila petikan video daripada persembahan itu dikongsi berulang-kali di platform TikTok.  - 7KLIK


ARTIKEL LAIN: 

Post a Comment

Previous Post Next Post