Buka agensi sendiri, Jennie Blackpink bawa hala tuju baharu kerjaya solo menerusi Odd Atelier


OLEH: AILEEN ADAM
BINTANG K-Pop sensasi, Jennie Blackpink bakal membuka tahun 2024 dengan cabaran baharu apabila mengumumkan penubuhan label atau agensi pengurusan miliknya sendiri, Odd Atelier (OA).

Pemilik nama penuh Jennie Kim, 27, berkongsi berita tersebut di Instagram miliknya pada Ahad dan berharap peminat terus menyokong di belakangnya.

Ternyata dalam diam, bintang serba boleh yang mempunyai pengaruh besar di peringkat global itu  menyusun strategi cukup baik untuk kerjaya solonya.

"Hi, this Jennie. This year was filled with many accomplishments, and i'm so thankful for all the love i've received.

"I'm also excited about what's to come, as i start my solo journey in 2024 with a company that i have established called OA. Please show lots of love for my new start with OA and of course, Blackpink. Thank you".

OA dikatakan merujuk kepada ruang yang bertujuan untuk mencipta perkara baharu yang menarik perhatian dengan cara berbeza daripada biasa atau dijangka.


Penubuhan label tersebut pada 23 November lalu itu sekali gus mengesahkan tentang status kerjaya solo Jennie selepas ini yang tentunya akan membawa hala tuju baharu menerusi label miliknya sendiri.

Malah sebelum ini juga, pelantun lagu Solo dan You & Me itu turut memberi bayangan tentang pelbagai perancangan yang sedang diatur untuk kerjaya seninya selepas ini termasuk album solo yang sudah lama dinantikan peminat.

Gadis manis yang bijak dan bercita-cita tinggi itu sentiasa tahu apa yang dimahukan dan berani mengambil cabaran untuk memulakan langkah baharu demi mencari kelainan dan kepuasan dalam kerjaya seninya.

Pun begitu sebagaimana diketahui umum dan disahkan oleh YG Entertainment baru-baru ini, untuk aktiviti dalam kumpulan sebagai Blackpink, Jennie dan anggota lain iaitu Jisoo, Rose dan Lisa masih lagi diuruskan di bawah label yang bertanggungjawab memperkenalkan mereka dalam industri dan debut pada 2016 itu.


Dalam perkembangan lain, Jennie juga menunaikan janjinya buat peminat apabila tampil dengan dua lagu 'cover' iaitu Snow, nyanyian asal Zion.T dan Snowman (Sia), bersempena sambutan Krismas yang bakal diraikan esok.

Sebaik sahaja video persembahan tersebut dimuat naik di saluran YouTube miliknya pada awal Ahad, ia terus mendapat perhatian ramai sehingga tular di media sosial apabila masing-masing berkongsi semula video tersebut di pelbagai platform. 

Jennie benar-benar memberikan kegembiraan berganda buat peminat sebagai hadiah sempena perayaan Krismas pada tahun ini.  - 7KLIK


ARTIKEL LAIN: 

Post a Comment

Previous Post Next Post