“Kita masih punya senjata yang mereka tidak punya berjenama doa, doa buat Gaza” – Kimal Margasatwa


TERKESAN dengan konflik dan tragedi yang berlaku di Gaza melibatkan rakyat Palestin, penyanyi penyanyi kumpulan rock Margasatwa, Kimal tampil berkongsi perasaannya menerusi single berjudul Doa Buat Gaza.

Lagu terbitan Luncai Emas ini bukan sahaja merupakan karya terkini Kimal, tetapi juga satu permohonan doa yang disusun menjadi sokongan dan kepedulian terhadap mangsa konflik di Palestin.

Menurut Kimal yang juga merupakan seorang komposer, karya tersebut pada asalnya merupakan sebuah puisi yang dihasilkan pada tahun 2012.

Doa Buat Gaza sebenarnya merupakan sebuah puisi yang telah dihasilkan pada tahun 2012, sebagai cerminan reaksi saya terhadap kekejaman Israel yang menyerang Gaza dan keganasan yang terjadi di sana waktu itu.

"Terketar dan terkesan dengan nasib saudara di Palestin, puisi ini kemudiannya diubah menjadi sebuah lagu. Saya sedar bahawa dari jauh, kita mungkin terbatas dalam bantuan yang dapat diberikan, dan walaupun setiap sumbangan seikhlas hati adalah penting, tetap ia boleh dimanipulasikan pihak yang tidak bertanggungjawab.

"Namun begitu, doa memiliki kekuatan tersendiri yang tidak boleh dipergunakan oleh pihak tersebut. Doa adalah satu- satunya senjata kita yang eksklusif,” ujarnya.

Mengulas lebih lanjut, Kimal berkata, kolaborasi bersama Mafidz, yang dikenali dengan ahli-ahlinya iaitu Megat Aizzat, Megat Fazly dan Megat Hafidz, merupakan sebuah kolaborasi kreatif.

“Saya kenal mereka sejak tahun 2015 lagi, sebelum wujudnya Margasatwa dan Mafidz. Mereka antara rakan kreatif pertama yang boleh saya berkongsi rasa, idea dan cita-cita bersama mereka. Kita tak pernah berkolaborasi secara rasmi, maka ini adalah lagu yang tepat pada waktu yang tepat.

“Projek ini juga menjadi salah satu cabang kreatif saya, untuk menguji kebolehan saya sebagai seorang artis, komposer dan penerbit.

"Saya tidak melibatkan Margasatwa dalam projek ini kerana mereka sedang menyiapkan album baharu dan itu yang menjadi fokus utama kami," katanya.

Tambah Kimal lagi, Mafidz dan produksi mereka, Resonant Pribadi telah menampilkan profesionalisme yang tinggi.

"Masing-masing daripada mereka memiliki keunikan dalam suara dan penyampaian. Mereka memahami dengan mendalam melodi dan lirik yang ingin disampaikan.

"Apa yang paling saya suka adalah pilihan melodi dan nada setiap bahagian suara mereka yang bersatu dengan harmoni dan indah sekali,” katanya.

Lagu Doa Buat Gaza dirakam di studio Resonant Pribadi untuk bahagian vokal, manakala gitar dan alat lain dimain dan dirakam sendiri di Studio Gemunggal di Penerbitan Tongkat Sakti, milik Kimal.

“Sedih dan menyayat hati dengan apa yang berlaku terhadap saudara kita di Palestin. Namun dalam masa yang sama, saya sangat berbangga dengan kekuatan dan kehebatan mereka menentang kekejaman Israel. Semoga kemenangan milik Palestin, Insya-ALLAH,” luahnya.

Dalam masa sama, Kimal turut menekankan bahawa ini adalah peranannya sebagai seorang artis untuk menyebarkan kesedaran mengenai kejadian di Gaza dan mengingatkan orang ramai tentang betapa pentingnya mensyukuri keamanan negara daripada porak-peranda dan kemusnahan peperangan.

Mesej itu turut disampaikan dalam lirik lagu tersebut sebagai kata-kata. 'Namun kita masih punya, senjata yang mereka tidak punya, yang berjenama doa, Doa buat Gaza'.

Kimal mengajak orang ramai terus menerus mendoakan kesejahteraan dan kemenangan untuk Palestin. Single Doa Buat Gaza telah pun sedia untuk didengari di kesemua platform digital. Video muzik pula boleh ditonton di saluran YouTube Luncai Emas. - 7KLIK



[FOTO: Luncai Emas]


Post a Comment

Previous Post Next Post