Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Kembali bergelar isteri, Bunga Citra Lestari selamat disatukan dengan Tiko Aryawardhana


PENYANYI dan pelakon popular Indonesia, Bunga Citra Lestari sah bergelar isteri kepada Tiko Aryawardhana, 43, pada majlis ijab dan kabul yang berlangsung di sebuah resort mewah di Bali, Indonesia pada petang Sabtu.

Pasangan itu dinikahkan sendiri oleh bapa pengantin perempuan, Muchlis Rusli, dengan disaksikan keluarga dan rakan-rakan terdekat kedua-dua belah pihak. 

Pada acara yang diadakan secara tertutup dan dikawal ketat dengan hanya kehadiran 100 tetamu itu, BCL, 40, dan pasangannya sepadan dalam persalinan pengantin berkonsepkan tradisional Jawa.



Lebih istimewa, keluarga Allahyarham Ashraf Sinclair yang terdiri daripada ibu bapa iaitu Mohamed Anthony John Sinclair dan Khadijah Abdul Rahman, adik-beradik termasuk ipar BCL, penyanyi Yuna turut hadir menjadi saksi dan meraikan hari bahagia BCL bersama Tiko.

Tidak hanya itu, adik perempuan Ashraf iaitu Aishah Sinclair dilihat menjadi orang 'penting' sepanjang majlis apabila sentiasa berada di sisi dan menjadi pendamping mengiringi pengantin perempuan sepanjang majlis berlangsung.

Difahamkan Tiko yang bekerja dalam bidang perbankan, merupakan duda anak tiga dan telah bercerai dengan bekas isteri pada 2021, selain ibu bapanya yang tinggal berjiran dengan keluarga BCL.


Penyanyi yang cukup popular dengan lagu Cinta Sejati itu sebelum ini hampir tiga tahun menjalani hidup sebagai ibu tunggal selepas kematian suami, pelakon popular asal Malaysia, Allahyarham Ashraf Sinclair yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada Februari 2020.

Pasangan yang mendirikan rumah tangga pada 2008 itu dikurniakan seorang anak lelaki, Noah Aidan Sinclair yang kini berusia 13 tahun.

Post a Comment

0 Comments