Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Hampir setahun siapkan album New Classic, Dolla mahu terus lebarkan pengaruh dengan karya berkualiti


SETELAH tiga tahun mengegarkan industri hiburan tanah air, kumpulan Dolla akhirnya tampil dengan album sulung berjudul, New Classic yang dilancarkan secara digital pada 21 November lalu.

Dolla yang dianggotai oleh Angel, Sabronzo, Syasya dan Tabby itu harus berbangga dengan pelbagai pencapaian yang telah mereka perolehi selepas membuat debut menerusi single Dolla Make You Wanna pada 2010.

New Classic terbitan Universal Music Malaysia itu dianggap sebagai hadiah istimewa buat peminat dan menampilkan tujuh buah lagu yang terdiri daripada lima lagu baharu serta dua lagu yang sudah dilancarkan sebelum ini.

Meletakkan kualiti sebagai pegangan utama, album yang menggabungkan pelbagai genre daripada Dance Pop ke R&B itu menampilkan karya-karya terbaik sentuhan penerbit muzik tempatan dan antarabangsa yang cukup disegani termasuk Hyuk Shin dari Korea Selatan.

Justeru, album tersebut bakal mendefinisikan semula intipati lagu yang dianggap evergreen dengan membawa kewibawaan baharu, perspektif muzik lebih segar serta naratif penerapan keyakinan tinggi dalam diri setiap individu yang menjurus kepada kekuatan wanita.

(Dari kiri) Syasya, Tabby, Angel dan Sabronzo.


Menurut Tabby, New Classic bukan sahaja sebuah album yang menghiburkan, malah ia sarat dengan mesej penting.

“Generasi masa kini mempunyai tanggungjawab untuk menghasilkan karya-karya evergreen untuk masa hadapan. Sebagai wakil artis daripada generasi ini, kami sedaya upaya cuba untuk menggalas misi ini dan bekerja keras agar dapat menghasilkan lagu-lagu yang akan terus diminati dan menjadi inspirasi generasi selepas kami.

“Proses penghasilan album ini mengambil masa lebih kurang setahun. Saya amat berbangga untuk menyatakan bahawa Dolla sebagai kumpulan terlibat secara aktif dalam setiap proses kreatif penghasilan album New Classic. Lagu Drip misalnya merupakan lagu pertama menyaksikan kami menulis lirik dan menggubah melodi.

"Kami bekerjasama dengan begitu ramai penulis dan produser yang amat dihormati dalam industri ini. Walaupun mempunyai kredibiliti hebat, kami bangga dan terharu kerana mereka mengizinkan Dolla membuat beberapa perubahan dalam lagu-lagu hasil nukilan mereka. Ia menjadikan lagu itu lebih bercirikan Dolla dan sudah tentu menjadi amat 'personal' bagi kami," ujarnya.

Lagu-lagu yang terkandung dalam album New Classic terdiri daripada Classic, Damelo, Masa, Drip, Best Side, Bo$$ Up dan Damelo (versi bahasa Inggeris).

Classic dan Bo$$ Up merupakan lagu yang diterbitkan oleh Hyuk Shin, seorang produser album dan penulis lagu dari Korea Selatan yang cukup terkenal dalam kalangan artis ‘A-list’ dunia. Hyuk Shin sebelum ini pernah berkolaborasi dengan Justin Bieber, Anderson Paak, Blackbear, Dean, NCT, Super Junior, TXT, Exo, Monsta X, Shinee, Girls' Generation dan ramai lagi.

Lagu Classic sebagai 'title track' bagaikan merumus keseluruhan album dengan rentak dan lirik yang pasti menjadi siulan ramai terutamanya anak-anak muda. Lebih-lebih lagi dengan mesej positif pemerkasaan diri yang terkandung di dalamnya, karya itu tentunya lagu yang bakal menjadi malar segar dan kekal relevan sepanjang zaman.

Muzik video bagi lagu Classic yang boleh ditonton di platform YouTube pula difilemkan secara keseluruhan di Thailand dan melibatkan tenaga produksi serta kru filem profesional dari negara tersebut.



Bercerita lebih lanjut tentang album sulung mereka itu, Angel mengakui lagu Classic menjadi salah satu lagu kegemarannya.

Classic seakan menggambarkan Dolla pada masa kini dan hala tuju kami dalam industri muzik. Bukan sahaja daripada faktor lirik yang amat dominan serta bersemangat, ia juga merupakan lagu pertama daripada Dolla dengan korus ‘anti-drop’ dan bahagian ‘bridge’ yang ceria. Ia berlainan sekali dengan lagu-lagu kami sebelum ini.

"Kami juga sangat teruja untuk mempersembahkan muzik video bagi lagu ini di mana pembikinannya dibuat di Thailand bersama team produksi yang begitu efisyen. Sememangnya ia satu pengalaman baharu bagi kami dan secara positif, ia adalah pendedahan yang amat bermakna bagi Dolla,” katanya.

Album New Classic sememangnya tampil dengan kelainan apabila menampilkan pilihan lagu-lagu berentak rancak sehinggalah irama mid-tempo dan soul.




Konsep tersebut menurut Syasya, benar-benar mengetengahkan bakat muzikal serta versatiliti setiap anggota Dolla.

“Proses rakaman album ini agak mencabar kerana setiap lagu amat berlainan di antara satu sama lain, dan secara individu, ia punyai ‘vibe’ yang berbeza.

"Namun kami amat bersyukur atas bimbingan serta tunjuk ajar yang kami terima daripada semua yang terlibat dalam pembikinan album ini," katanya yang merupakan anggota termuda Dolla.

Sementara itu, Sabronzo menyifatkan album sulung mereka itu sebagai benar-benar melambangkan evolusi kumpulan mereka dari segi muzik.

"Kami tidak sabar untuk mempersembahkan kepada para penyokong Dolla, segala usaha dan kerja keras kami dalam menghasilkan album ini sejak setahun lalu. Setiap anggota Dolla terlibat penuh dengan proses kreatif album ini dan sudah tentu, ini menjadikan album ini bagaikan ‘our baby’.

“Sangat berbangga diberi peluang untuk berkolaborasi dengan begitu ramai individu yang berpengalaman besar dalam projek album pertama Dolla ini. Pengalaman dan ilmu yang dipelajari pasti tidak akan kami sia-siakan.

"Kami berharap para peminat Dolla dan muzik amnya dapat menikmati lagu-lagu yang terkandung dalam New Classic sebagaimana kami amat menyukai album ini," tegasnya.



Album New Classic yang kini boleh distrim di kesemua platform digital itu turut mempertaruhkan lagu Damelo, hasil nukilan dan terbitan Hard Lights yang membawa maksud ‘Berikan kepadaku’ atau ‘Give it to me’ dalam bahasa Sepanyol.

Lagu yang diiinspirasikan daripada rentak techno-Latin yang amat popular pada masa kini itu terus sahaja trending di pelbagai platform dan carta lagu, malah diangkat sebagai #1 dalam kategori video dan #2 dalam kategori muzik di YouTube Malaysia selepas dilancarkan tiga bulan lalu.

Damelo juga berjaya mencapai 200,000 tontonan dalam masa 24 jam dan 500,000 tontonan dalam empat hari. Lagu itu juga telah ditonton dan distrim sebanyak 2.4 juta kali di platform YouTube, selain menjadi salah satu lagu tersenarai dalam Spotify Top 200 dan Apple Music Top 200 dalam tujuh hari dari tarikh pelancaran.

Pencapaian tersebut secara tidak langsung menjadikan Dolla salah satu artis berkumpulan yang membawa impak paling besar di Malaysia. Kumpulan itu juga cukup dikenali dengan gaya dinamik, amat bercita-cita tinggi serta berani menampilkan ekspresi yang berlainan, bukan sahaja dari segi muzik malah penampilan, Dolla benar-benar mewakili elemen serta karakter generasi masa kini.

Sehingga kini Dolla telahpun melancarkan tujuh single solo dan lima lagu kolaborasi bersama artis lain yang telah berjaya mencuri perhatian peminat muzik tanah air, selain berjaya mengumpulkan ramai pengikut dari serata dunia menerusi platform media sosial mereka.

Dalam pada itu, Dolla pada acara #DOLLAVILLA yang diadakan baru-baru ini turut memperkenalkan pewangi DOLLA X CERM Classic Perfume edisi terhad daripada Huile de Parfum sebelum ia dilancarkan secara rasmi pada hujung bulan November ini. Ia merupakan item pertama daripada senarai produk-produk eksklusif Dolla yang akan dilancarkan kelak. - 7KLIK


[FOTO: Universal Music Malaysia]








Post a Comment

0 Comments