Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Kejohanan Badminton Tertutup Johor 2022: Ariffin tepati ramalan, Dania pertahan gelaran




KEJOHANAN Badminton Tertutup Johor 2023 telah melabuhkan tirainya dengan beberapa pertarungan sengit yang dipamerkan oleh para peserta di DBC Sport Arena, Pontian, Johor pada Ahad.

Seperti yang diramalkan, Ariffin Nazri berjaya mengatasi tentangan sengit dari rakan seperjuangan beliau di kem badminton Johor, Wee Yee Tern. Set pertama menyaksikan Ariffin terpaksa berhempas pulas untuk menang 21-19.

Di set kedua, Yee Tern mencuba untuk mengheret Ariffin ke set penentuan namun Ariffin mengekalkan konsetrasi dalam permainan serta memberikan aksi bertenaga untuk mengatasi Yee Tern dengan hasil kemenangan 21-17. Ia sekali gus bagi menebus kehampaan apabila terlepas gelaran juara kepada abangnya pada edisi lepas. 

Ariffin yang mengambil bahagian dalam Kejohanan Remaja Dunia BWF 2022 di Sepanyol berkata;

“Saya berbangga dengan kemenangan saya hari ini. Bukan mudah untuk mara ke peringkat akhir. Pertarungan yang sukar diberikan oleh Yee Tern,” ujarnya.

Dalam pada itu, perseorangan remaja wanita Johor, Dania Sofea Zaidi membuktikan statusnya selaku pemain harapan buat kem badminton Johor apabila berjaya mempertahankan gelaran juara edisi lepas.

Dania Sofea tidak berdepan kesukaran untuk menewaskan lawannya, Lai Eyun 21-7, 21-10 dalam pertarungan selama 22 minit.

Bagi pemain berusia 16 tahun itu, beliau mahu menjadikan tahun 2023 sebagai tahun terbaik buatnya untuk mempersiapkan diri sebelum bergelar pemain utama buat negeri Johor.

Bagi pertarungan terakhir kejohanan, acara beregu lelaki bawah 21 tahun menyaksikan pasangan adik beradik Ariffin-Ashraf berjaya membawa pulang kejuaraan menewaskan Wee Yee Hern-Wee Yee Tern, 21-15, 21-19 yang turut disaksikan oleh YB Mohd Hairi bin Mad Shah, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor.

Turut hadir ialah Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor (Sukan, Belia dan Sukarelawan), YB Datuk Haji On bin Jabbar, Pengarah Majlis Sukan Negeri Johor, Encik Nor Syazlan bin Abdul Razak dan Presiden Persatuan Badminton Johor, Encik Mat Rashid bin Jahlil.


[KREDIT: Persatuan Badminton Johor]


(Dari kiri: Setiausaha Agung Persatuan Badminton Johor, Muhammad Fadhil Samihan, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor (Sukan, Belia dan Sukarelawan), Datuk Haji On Jabbar dan Presiden Persatuan Badminton Johor (JBA) Mat Rasid Jahlil, bergambar bersama para pemenang acara beregu perempuan bawah-16 tahun.


EXCO Negeri Johor (Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor), Mohd Hairi Mad Shah (kiri), menerima cenderahati daripada Presiden Persatuan Badminton Johor (JBA) Mat Rasid Jahlil.


(Dari kiri) Setiausaha Agung Persatuan Badminton Johor, Muhammad Fadhil Samihan, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor (Sukan, Belia dan Sukarelawan), EXCO Negeri Johor (Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor), Mohd Hairi Mad Shah dan Presiden Persatuan Badminton Johor (JBA) Mat Rasid Jahlil, bergambar bersama para pemenang acara perseorangan lelaki bawah-21 tahun.


Post a Comment

0 Comments