Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Kopetro sumbang bantuan kepada mangsa banjir



KOPERASI Kakitangan PETRONAS Berhad (KOPETRO) telah turun padang hari ini bagi menghulurkan bantuan berupa barangan kelengkapan kebersihan peribadi yang terdiri daripada semburan sanitasi tangan, pelitup muka, tisu pembasmi kuman serta pakaian terpakai dan air mineral untuk diagihkan kepada mangsa banjir di sekitar Selangor.

Seawal jam 10 pagi seramai 17 orang kakitangan KOPETRO Travel & Tours dan KOPETRO Hotel & Resort telah tiba di Pusat Agihan Bantuan Bencana Selangor di Wisma MBSA, Shah Alam untuk menyerahkan sejumlah 300 pek bantuan kepada wakil pusat agihan, Puan Siti Nur Jannah Tahir, Pegawai Kesihatan Persekitaran.

Menurut Hasnoal Idris, Ketua Pegawai Operasi Bahagian Pelancongan dan Riadah KOPETRO, usaha yang dilakukan hari ini merupakan sebahagian daripada inisiatif mereka dalam melunaskan tanggungjawab korporat terhadap masyarakat tempatan.

Biarpun perniagaan terkesan akibat pandemik Covid-19 yang melanda dunia hampir 2 tahun namun Hasnoal Idris percaya setiap rezeki yang diperoleh sejak perniagaan mula beroperasi sepenuhnya pada November 2021 yang lalu, tetap harus dikongsi dengan golongan yang memerlukan.

Turut hadir sewaktu menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir adalah Ahmad Shakir Ahmad Ubaidah, Ketua Pegawai Eksekutif KOPETRO yang memberitahu bahawa KOPETRO bukan sahaja menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir di sekitar negeri Selangor, malah akan turun padang menziarahi anggota-anggota koperasi di Terengganu, Pahang, Perak, Johor dan Melaka, bagi menyampaikan sumbangan kepada anggota-anggota yang terkesan dengan musibah banjir baru-baru ini.

Sebagai sebuah koperasi, sumbangan kebajikan tatkala dilanda bencana alam merupakan salah satu manfaat yang ditawarkan KOPETRO buat anggota-anggota mereka.

Lokasi kedua yang dilawati pasukan sukarelawan KOPETRO hari ini adalah Kampung Bangi Lama, Selangor, di mana sebanyak 260 rumah telah musnah dinaiki air akibat bencana banjir yang melanda baru-baru ini.

Bantuan telah disampaikan kepada Hj. Rasidin Bin Md Yusoff, selaku Ketua Kampung Bangi Lama di Dewan Orang Ramai kampung tersebut.

“Kami prihatin akan kesukaran berpunca daripada hujan lebat dan banjir adalah di luar jangkaan. Banyak rumah dan perniagaan yang rosak teruk dan pastinya ini akan menyebabkan sumber pendapatan mereka yang terlibat terjejas,” ujar Hasnoal Idris lagi.



KOPETRO Travel adalah sebuah syarikat pengurusan pelancongan dan percutian dengan pengalaman lebih 35 tahun. Mempunyai rakan kongsi di serata dunia, KOPETRO Travel merupakan pusat sehenti yang dapat menawarkan pelbagai servis pelancongan yang dapat menjadikan segala perancangan untuk percutian menjadi lebih mudah. KOPETRO Hotel & Resort pula merupakan syarikat pengurusan hotel yang mempunyai dua buah hotel bernama Singgah Kertih di Terengganu dan Singgah Pengerang di Johor.

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai perkhidmatan yang ditawarkan KOPETRO Travel layari laman web www.kopetrotravel.com.my manakala KOPETRO Hotel & Resort di www.singgah.com.my- 7KLIK


[KREDIT: KOPETRO]








Post a Comment

0 Comments