PROGRAM Tanya Doktor ialah sebuah rancangan bual bicara khusus mengenai kesihatan terbitan Astro Prima.
Kembali dengan pengisian lebih segar dan interaktif untuk musim kelima, program Tanya Doktor bakal mengetengahkan pelbagai topik perkongsian menarik merangkumi kupasan komprehensif mengenai isu-isu semasa berkaitan kesihatan.
Bagi merancakkan lagi sesi perbincangan pada setiap episod, hos dan panel doktor juga akan berinteraksi dengan penonton di studio dan media sosial untuk saling bertukar tips, pengalaman serta pandangan yang membina. Lebih menyeronokkan, sesi aktiviti kecergasan dan senaman ringan juga turut diadakan di segmen terakhir untuk dimanfaatkan bersama.
Selebriti popular Lisa Surihani masih lagi dikekalkan dan diberi mandat untuk mengendalikan program ini selaku hos bersama seorang lagi doktor residen iaitu Dr. Shazril Shaharuddin atau lebih dikenali sebagai Dr. Say.
Untuk musim ini juga, program Tanya Doktor turut menampilkan barisan panel doktor pakar daripada pelbagai bidang pengkhususan yang berlainan iaitu Dr. Ahmad Rostam Md Zin (Pakar Psikiatri Hospital Putrajaya), Dr. Liyana Dhamirah (Pakar Estetik) dan Dr. Lim Ing Kien (Pakar Dermatologi Estetik).
Rangkaian program Tanya Doktor akan mula bersiaran secara eksklusif menerusi saluran Astro Prima (125) dan Astro Prima HD (105) serta turut boleh distrim menerusi aplikasi Astro Go dan perkhidmatan ‘on demand’untuk pilihan yang lebih fleksibel.
Program Tanya Doktor akan berdurasi selama 60 minit menerusi paparan 10 buah episod secara eksklusif pada setiap hari Rabu, jam 9 malam mulai 16 Disember ini.
Manakala klip kupasan pendapat berkaitan kesihatan dapat ditonton melalui kapsul ‘Fakta Mitos Tanya Doktor’ pada setiap hari Isnin, jam 7 malam bermula 14 Disember ini.
Kapsul ‘Demo Medik Tanya Doktor’ yang menampilkan klip sedutan sesi demonstrasi yang berkaitan dengan topik kesihatan pula akan bersiaran pada setiap hari Selasa, jam 7 malam mulai 15 Disember ini.
Menurut Pengurus Saluran Astro Prima, Norzeha Mohd Salleh, pihaknya amat gembira dengan penerimaan positif terhadap program Tanya Doktor yang merupakan platform utama dalam menyalurkan maklumat mengenai kesihatan.
"Sungguhpun inpati program ini jauh lebih serius berbanding program hiburan lain terbitan Astro, namun sambutan yang diterima membuktikan bahawa program sebegini juga relevan dan mampu menarik minat para penonton sehingga mendorong kami untuk meneruskan penerbitan Tanya Doktor untuk musim yang kelima.
"Senario ini mencerminkan perubahan sikap dan tahap kesedaran masyarakat yang kini lebih peka dan proaktif dalam usaha untuk mengambil berat mengenai kepentingan kesihatan dan risiko penyakit berbahaya.
"Masih mengekalkan format asal dengan pelbagai suntikan pembaharuan sebagai kelainan untuk mendekati penonton, Tanya Doktor musim terbaharu turut mengundang panel pakar perunding untuk memberi pandangan mengenai topik perbincangan berdasarkan tema mingguan.
"Pakar-pakar ini juga akan membuat eksperimen dan demonstrasi secara santai agar penonton dapat memahami topik tersebut dengan lebih mudah. Selain itu, tetamu profil kes juga akan dijemput untuk berkongsi tentang masalah kesihatan yang dihadapi. Bukan itu sahaja, para penonton juga berpeluang untuk mendapatkan pelbagai ilmu, tips kesedaran dan langkah pencegahan serta amalan gaya hidup sihat.
"Sempena Kempen Kesedaran Kanser Prostat yang dilancarkan sekitar bulan November lalu, kami juga cukup berbesar hati di atas persetujuan Dato’ Sri Nazir Razak yang sudi hadir sebagai tetamu undangan istimewa sebagai pembukaan untuk episod pertama bagi berkongsi pengalaman peribadi beliau sebagai seorang ‘survivor’ yang pernah berjuang melawan kanser prostat tidak lama dahulu.
"Semoga perkongsian yang diberi dalam setiap topik perbincangan menerusi program Tanya Doktor musim ini dapat memberi manfaat kepada semua yang menonton. Semoga terhibur,” katanya.
TRIVIA MENGENAI PROGRAM ‘TANYA DOKTOR'
1. Topik perbincangan program bual bicara ‘Tanya Doktor’ musim kelima adalah bertemakan tentang penyakit kritikal, kesihatan mental serta kecantikan. Setiap panel doktor yang diundang khas untuk menjayakan musim ini merupakan pakar perunding dalam bidang pengkhususan yang berkaitan dengan pilihan topik mingguan.
2. Selain kupasan dan penjelasan daripada sudut perubatan, program ini juga turut membincangkan mengenai gaya hidup masyarakat moden yang menjadi antara faktor utama masalah kesihatan.
3. Antara topik kupasan menarik yang akan dibawakan menerusi program ini termasuklah perbincangan mengenai kanser prostat, rawatan dialisis, masalah kesihatan berkaitan saraf seperti sindrom ‘Carpal Tunnel’, kecelaruan personaliti, kebimbangan kronik melampau, gangguan obsesif kompulsif, halusinasi, gangguan tingkah laku pemakanan seperti anoreksia dan bulimia, ketagihan suplemen, amalan diet yang keterlaluan serta banyak lagi. - 7KLIK
0 Comments