Hot Posts

6/recent/ticker-posts

ICSYVM3 KEMBALI DENGAN 10 EPISOD BAHARU



SELESAI sudah 11 episod I Can See Your Voice Malaysia Musim 3 (ICSYVMY3) dengan episod raya yang menampilkan Ramlah Ram sebagai artis jemputan. 

Kini, ICSYVMY3 bahagian kedua hadir untuk memeriahkan hari anda. Hujung minggu anda pasti lebih menarik dengan episod-episod baharu yang lebih kelakar dan penuh dengan idea luar biasa daripada hos dan panel penyiasat tetap.

ICSYVMY3 mula mencipta fenomena apabila menerima hampir 3000 peserta di sesi uji bakat dan seterusnya berjaya mencecah jumlah penonton tertinggi iaitu 4.7 juta penonton (secara purata untuk 11 episod sebelum ini) berbanding musim-musim lalu. 

Sepanjang sesi rakaman episod-episod baharu ICSYVMY3 bahagian kedua ini, Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat dijalankan bagi memastikan keselamatan semua pihak yang terlibat. Jangan ketinggalan untuk terus mengikuti episod seterusnya yang akan disiarkan bermula pada 21 Jun 2020, pukul 9.00 malam di TV3 dan strim live dalam definisi tinggi  di www.tonton.com.my

Keserasian panel penyiasat tetap ICSYVMY3 iaitu Yusry Abdul Halim, Jihan Muse dan Mark Adam semakin terserlah dalam episod-episod yang akan datang. 

Anda pasti teruja menanti episod-episod baharu dalam ICSYVMY3 bahagian kedua ini kerana ramai selebriti dan penyanyi berbakat yang akan menyertai panel penyiasat tetap menganalisis siapakah penyamar bersuara sumbang dalam kalangan penyanyi sebenar.

Episod 12 yang bakal bersiaran pada hari Ahad ini (21 Jun 2020) menampilkan Naim Daniel, pemenang Anugerah Juara Lagu 34 sebagai artis jemputan. Turut serta sebagai panel penyiasat jemputan adalah Fara Fauzana dan Ungku Hariz. Dengar nama selebriti-selebriti ini sahaja sudah boleh terbayang betapa meriahnya episod itu nanti. 

Antara penyanyi popular yang menjadi artis jemputan ICSYVMY3 ialah Zizi Kirana, Neeta iamNeeta, Ara Johari, Ronnie Hussein, Amy Mastura, Marsha Milan, Akim Ahmad, Noraniza Idris dan Datuk Nash. 

Tidak lupa juga barisan selebriti popular yang diundang sebagai penyiasat jemputan suara sumbang pada setiap episod iaitu Ungku Ismail, Siti Saleha, Fizo Omar, Balkisyh Khan, Fad Bocey, Naqiu, pengarah drama ‘Mak Cun’ iaitu Eirma Fatima , Ayie Floor 88, Maya Karin, Amyza Aznan, Adam Lee, Sweet Qismina, Azhan Rani, Atu Zero, Lisa Surihani, dan ramai lagi.

ICSYVMY3 bahagian kedua ini turut memperkenalkan elemen baharu di pusingan ketiga. Setiap episod, 6 penyanyi misteri akan diperkenalkan. Artis jemputan perlu menyingkirkan penyanyi misteri yang telah dikenal pasti sebagai penyamar bersuara sumbang di setiap pusingan. 

Di penghujung program, sekiranya penyanyi misteri itu seorang penyamar bersuara sumbang, akan membawa pulang hadiah wang tunai RM 3,000.00. Namun jika dia ialah penyanyi sebenar, peserta tersebut akan merebut peluang bersaing dengan penyanyi-penyanyi sebenar yang lain untuk menjadi artis di bawah naungan Monkey Bone serta layak untuk merakamkan sebuah single. 

Untuk bahagian 1, Mohd Harith Danial dari episod Siti Nordiana telah diumumkan sebagai pemenang utama dengan penilaian barisan juri profesional (60% markah) dan undian atas talian oleh orang ramai (40%) yang berlangsung pada 31 Mei 2020 hingga 14 Jun 2020. 

ICSYVMY3 dihoskan oleh Shuk Sahar dan Sean Lee. - 7KLIK

[KREDIT: TV3]

Post a Comment

0 Comments