MINGGU keenam Mentor Milenia 2019 bermula dengan Bulan, protege kepada Black yang menyanyikan lagu Iman Mutiara (penyanyi asal Raihan). Walaupun persembahan minggu ini merupakan persembahan terbaik beliau, pihak juri tidak bersetuju dan Bulan ditempatkan di tangga tercorot.
“Saya percaya pada rezeki Allah SWT dan saya percaya saya telah buat yang terbaik berbanding persembahan-persembahan saya sebelum ini.” kata Bulan, protege yang tersingkir pada minggu keenam.
Seterusnya Ryan Que, protege kepada Akim telah menyanyikan lagu Bukan Diriku (penyanyi asal Samsons). Ryan Que menyampaikan lagu tersebut dengan penuh emosi dan menerima pujian dari juri, Datuk Syafinaz.
Arayn Malek, protege kepada Hazama telah membuktikan yang beliau tidak tergolong dalam tangga tercorot ketika menyampaikan lagu Pada Syurga Di Wajahmu (penyanyi asal Nash). Ternyata persembahan beliau pada minggu ini menayangkan peningkatan berbanding minggu-minggu sebelum.
Sementara itu Daus Husny, protege kepada Ernie Zakri membawa lagu genre asli, Umpan Jinak Di Air Tenang (penyanyi asal Ahmad Jais). Daus Husny berjaya mendendangkan lagu yang berlainan genre pada setiap minggu telah membuktikan yang beliau tidak boleh dipandang rendah.
Malam diteruskan dengan persembahan dari protege Stacy, Rika Riana yang menyanyikan lagu Warkah Untukku (penyanyi asal Ara Johari). Rika memulakan persembahan dengan baik sekali, tetapi tidak dapat mengawal vokal beliau di pertengahan dan penghujung lagu.
Aedy Kama, protege kepada Black yang tergolong dalam tangga tercorot pada minggu itu telah menyampaikan lagu Sepi Sekuntum Mawar Merah (penyanyi asal Ella). Aedy yang mempunyai dinamik masih tidak dapat menambat hati para juri. Sharee Lopes, protege kepada Akim Ahmad menyampaikan lagu Creep (penyanyi asal Radiohead) telah membuktikan yang beliau mampu membuat sebuah lagu itu seakan miliknya sendiri.
Apex Tajudin, protege kepada Hazama yang merupakan juara mingguan sebelum ini mengekalkan takhta beliau selepas menyanyikan lagu Sejati (penyanyi asal Faizal Tahir). Dengan cara nyanyian yang berbeza, Apex menerima pujian dari Datuk Syafinaz yang menyatakan nyanyian beliau lebih baik tanpa suara serak.
Persembahan protege terakhir pada malam tersebut oleh Yazrul Arrep, protege kepada Ernie Zakri membawa lagu Potret (penyanyi asal Akim & The Majistret). Menurut juri, Altimet, Yazrul masih boleh memperbaiki persembahan beliau pada malam tersebut.
Minggu keenam Mentor Milenia menutup tirainya dengan persembahan oleh Sufian Suhaimi dengan lagunya Mencuba serta persembahan medley oleh para protege dengan lagu Kisah Cinta Kita (penyanyi asal Hafiz Suip) dan Cinta Luar Biasa (penyanyi asal Andmesh).
Dua yang tercorot dipilih melalui undian penonton ialah Aedy Kama dan Bulan, kedua-duanya protege kepada Black, manakala yang selebihnya masih kekal untuk minggu yang akan datang.
Untuk menentukan siapa yang kekal di pentas Mentor Milenia, Aedy Kama dan Bulan telah membawakan lagu Gemilang dari Jaclyn Victor. Aedy Kama yang merupakan seorang tenor dari segi vokal menewaskan rakan seperjuangannya, Bulan.
Minggu hadapan, para protege perlu melakukan persembahan bersama para artis jemputan, antaranya Haqiem Rusli, Zizi Kirana, Qody, Amir Masdi, Sarah Suhairi, Pasya Mentor, Naem Daniel dan iamNEETA.
Pemarkahan para protege pada musim ini dibahagi kepada dua iaitu markah persembahan 60% dari pihak juri profesional dan 40% undian awam. Undian boleh dibuat menerusi laman sesawang https://www.xtra.com.my/mentormilenia.
Mentor Milenia dibawa khas oleh penaja utama KFC, Sedap Hingga Menjilat Jari dan penaja bersama, OPPO A9 2020, 48MP Kuad Kamera, 8GB RAM + 128GB ROM.
Pihak produksi Mentor Milenia 2019 diketuai oleh Muhamad Sufian Isa selaku Penerbit Eksekutif dan Aeizul Reeza Bin Ismail selaku Penerbit.
Saksikan Mentor Milenia setiap hari Ahad, pukul 9.00 – 11.30 malam selama 10 episod dan dihoskan oleh Shuk Sahar, Elly Mazlein dan Zetty (Hot FM). Untuk maklumat lanjut, boleh ke laman sesawang http://www.xtra.com.my/mentormilenia.
[KREDITI: Media Prima/TV3]
0 Comments