Hot Posts

6/recent/ticker-posts

BUDAK BETUL, PAPAR KEJUJURAN LELAKI


KEJUJURAN seseorang bukanlah boleh diukur daripada rupa paras, pangkat, darjat dan sebagainya. Hakikatnya jujur seorang insan itu bersandarkan kepada keikhlasan hati dalam menunaikan amanah terhadap sesuatu perkara. 

Bersesuaian dengan bulan mulia Ramadan ini, RTM berkongsi tayangan telemovie bertajuk Budak Betul pada 26 Mei ini, pukul 10.00 pagi di TV1 yang dikaitkan dengan watak utamanya seorang pemuda yang jujur dan ikhlas dalam menyampaikan amanah yang diterimanya. 

Menampilkan pelakon utama Nadzmi Adhwa, Nad Zainal, Kathy Azean dan Didie Alias, telemovie  arahan Norhalim Hj. Ismail ini dimulakan dengan kejadian di mana keluarga Miah telah bertindak memutuskan pertunangan anak mereka dengan Busra, pemuda yang bekerja sebagai penghantar surat. 

Tindakan itu berlaku atas alasan Busra bukan berasal daripada sebuah keluarga yang berharta. Tambahan pula, Miah mula berkenalan dengan Shahrin, seorang lelaki yang berharta.

Dalam pada masa yang sama, sahabat rapat semenjak kecil Busra cuba memujuk kawannya itu agar melupakan Miah kerana mereka merupakan sebuah keluarga yang baik-baik kerana hanya mementingkan harta semata-mata. 




Cerita beralih arah apabila ketua majikan Busra, Dato’ Salim meminta beliau untuk menghantar sepucuk surat yang tidak beralamat dan dibayar upah yang agak lumayan. Setelah membuat sedikit siasatan, Busra mendapati penerima surat tersebut tinggal di perkampungan orang Asli di dalam hutan negeri Pahang. 

Dengan bantuan pengemudi sampan, Busra berjaya bertemu penerima surat tersebut yang dikenali sebagai Mahboob atau Tuan Guru kerana bergiat aktif mengajar ajaran Islam kepada penduduk orang Asli. 

Tuan Guru memberitahu kepada Busra bahawa Dato’ Salim merupakan anaknya dan kehadirannya ke kawasan pendalaman adalah kerana kecewa dan sedih terhadap Dato’ Salim yang mengabaikannya sebelum ini. 

Sekeping cek bernilai RM 3 juta yang dikeluarkan oleh Tuan Guru dari dalam sepucuk surat tersebut perlu ditunaikan segera dan beliau bersetuju untuk mengikut Busra ke Kuala Lumpur untuk urusan tersebut. 

Kedatangan Tuan Guru ke Kuala Lumpur, menemukan semula beliau dengan anaknya, Dato’ Salim yang sudah insaf akan perbuatannya. Sebagai ganjaran, Tuan Guru menghadiahkan RM1 juta kepada Busra kerana keikhlasan dan kejujuran beliau dalam menjalankan tugas. 

Busra kini hidup mewah dan Miah cuba memujuk Busra untuk kembali bersama. Namun adakah Busra setuju atau dia sudah memiliki pilihan yang lain? Ikuti kesudahannya dalam telemovie ini.




 TELEMOVIE BUDAK BETUL
Bahasa: Melayu
Tarikh Siaran: 26 Mei 2019
Hari: Ahad 
Masa: 10.00 Pagi 
Saluran: TV1  
Terbitan:    
Arahan: Norhalim Ismail  
Pelakon: Nadzmi Adhwa, Nad Zainal, Kathy Azean dan Didie Alias.


[KREDIT: RTM]

Post a Comment

0 Comments