DI sebalik rimbunan hutan Borneo, tersimpan pelbagai cerita tentang kehidupan, budaya dan warisan yang diwariskan dari satu generasi ke generasi seterusnya. Ada yang hidup bersama alam, membesar di sisinya dan menjadikan hutan sebahagian daripada identiti serta kehidupan seharian.
Cerita tentang hubungan manusia dengan alam inilah yang menjadi nadi kepada Forestborn, sebuah pameran yang membawa pengunjung lebih dekat kepada kehidupan komuniti pribumi serta kekayaan warisan Borneo.
Berlangsung sempena bulan Merdeka, Forestborn merupakan pameran solo oleh artis Malaysia, Calvin Chua Cheng Koon yang dibawa oleh AweGallery.
Ketika negara meraikan 69 tahun kemerdekaan, pameran ini mengajak pengunjung melihat lebih jauh daripada sekadar idea tentang sebuah negara, sebaliknya merenung tanah, manusia, budaya dan warisan yang bersama-sama membentuk tempat yang kita panggil rumah.
Menerusi Forestborn, perhatian Calvin tertumpu kepada hubungan yang berpanjangan antara komuniti pribumi dan hutan hujan Borneo.
Daripada kanak-kanak yang bermain dan menyelami sungai, perhimpunan masyarakat, penari dalam upacara tradisi hinggalah potret kehidupan seharian, karya-karyanya merakam lebih daripada sekadar detik kehidupan.
Setiap karya membawa cerita tentang rasa memiliki, warisan serta hubungan mendalam manusia dengan tanah yang menjadi sebahagian daripada kehidupan mereka.
Bagi artis berusia 65 tahun ini, kanak-kanak mempunyai cara tersendiri dalam melihat dunia, bebas daripada batasan yang sering membezakan manusia. Pandangan itu turut menjadi antara perkara yang ingin disampaikan menerusi karya-karya dalam Forestborn.
“Saya suka merakam kepolosan, gelak tawa dan semangat kanak-kanak yang bebas. Dalam kalangan kanak-kanak, tiada batasan agama, bangsa atau bahasa.
“Mereka bergaul tanpa mengira perbezaan, bermain bersama dan menikmati kebersamaan. Inilah sesuatu yang saya harap dapat saya sampaikan menerusi pameran ini,” ujarnya.
Buat pertama kali, karya anak kelahiran Kedah ini turut dipersembahkan di AweGallery, Taman Paramount, Petaling Jaya. Sebagai sebuah galeri yang berorientasikan komuniti, AweGallery percaya seni seharusnya boleh didekati dan dinikmati di luar lingkungan pengumpul seni tradisional.
Dengan membawa Forestborn ke tengah kawasan kejiranan, artis dan galeri berharap karya-karya ini dapat diperkenalkan kepada khalayak yang lebih luas, termasuk mereka yang mungkin sekadar mempunyai rasa ingin tahu terhadap dunia seni.
Mendekatkan Manusia Dengan Alam
Berlangsung dalam bulan Merdeka, Forestborn turut membuka ruang untuk merenung kepelbagaian manusia, budaya dan landskap yang membentuk Malaysia, selain kisah-kisah yang terus menyumbang kepada identiti bersama.
Menerusi karya-karya yang dipamerkan, komuniti pribumi bukan sekadar digambarkan sebagai penghuni hutan. Mereka adalah pewaris, pencerita dan memori hidup yang menghubungkan manusia dengan alam dari satu generasi ke generasi seterusnya.
Calvin mula bergiat sebagai pengkarya sepenuh masa selepas menamatkan pengajian di Kuala Lumpur College of Art pada awal 1980-an. Sejak itu, dia membina perjalanan seni yang panjang dan aktif dalam persada seni Asia Tenggara.
Penglibatannya merangkumi pelbagai pameran dan acara seni antarabangsa, dengan karya pernah dipamerkan di Belgium, China, Brazil, Sweden, Korea Selatan, Jepun, Amerika Syarikat, Greece, Vietnam, Singapura, India dan Indonesia, selain Hong Kong.
Antara pengiktirafan yang pernah diterima termasuk Malaysian Young Contemporaries Award dan Yayasan Seni Selangor Award. Calvin turut aktif dalam beberapa pertubuhan seni dan kini berkhidmat sebagai Pengerusi Malaysian Watercolour Society.
Pengkarya hebat ini juga mempunyai hubungan dengan Singapore Watercolour Society serta merupakan Signature Member of the National Watercolor Society di Amerika Syarikat.
Merentasi medium cat air, minyak, akrilik dan dakwat, Calvin dikenali menerusi pendekatan sensitif dalam menggambarkan manusia, komuniti serta hubungan mereka dengan persekitaran semula jadi.
Minatnya terhadap pengembaraan pula banyak membuka ruang kepada sumber inspirasi baharu, khususnya menerusi tempat yang dikunjungi dan individu yang ditemui sepanjang perjalanan.
Pengalaman tersebut kemudiannya diterjemahkan dalam karya yang merakam kehidupan seharian dengan kehangatan dan rasa kemanusiaan yang kuat.
Sehingga kini, Calvin telah mengadakan 13 pameran solo, manakala karya-karyanya turut menjadi sebahagian daripada koleksi korporat, institusi dan persendirian.
Antara koleksi yang menempatkan karyanya termasuk Bank Negara Malaysia, Deutsche Bank, Malayan Banking Berhad (Maybank), PricewaterhouseCoopers dan Jordan National Gallery of Fine Arts, selain pelbagai koleksi lain. - 7KLIK
BUTIRAN PAMERAN
Pameran: Forestborn
Artis: Calvin Chua
Tarikh: 21 Ogos – 3 September 2026
Masa: 11 pagi – 8 malam
Lokasi: AweGallery, Petaling Jaya
ARTIKEL LAIN:
0 Comments